Rangkaian Media Sosial PahangKu

.

Wednesday, May 6, 2015

TOK GAJAH PIMPIN LIGA


Tok Gajah pimpin liga


Jaringan tunggal penyerang import dari Argentina, Matias Ruben Conti melalui sepakan penalti sudah cukup buat Tok Gajah untuk gah memimpin Liga Super selepas menewaskan Perak di Stadium Darul Makmur.

Conti yang ditugaskan mengambil sepakan penalti selepas bola hantaran Dickson Nwakaeme terkena pemain pertahanan Perak pada minit ke- 70 tidak mempersiakan peluang tersebut apabila tenang menolak bola masuk ke gawang menewaskan penjaga gol Perak, Zamir Selamat.

Pahang yang memulakan perlawanan dilihat mempamerkan corak permainan berhati-hati dengan pergerakan bola banyak berlegar di kawasan tengah yang dipimpin Mohd Hafiz Kamal dan Zesh Rahman.

Memasuki minit ke-16, Hafiz nyaris memperdayakan Zamir apabila rembatan percumanya dari luar kotak penalti berjaya dihidu bekas penjaga gol Johor Darul Ta’zim dan PKNS FC itu yang bijak melayangkan badan menepis sepakan tersebut.

Selang 10 minit kemudian Zamir sekali lagi bertindak cemerlang apabila menafikan percubaan menarik dari Hafiz untuk terus memastikan kedudukan terikat tanpa jaringan.

Penyerang Perak, Chad Souza seharusnya meletakkan pasukan di depan sebelum menuju rehat apabila memiliki peluang terhidang ketika hanya berdepan Khairul Azhan, namun rembatan bekas peledak The Cops itu sedikit tersasar.

Aksi separuh masa kedua pula banyak berpihak kepada The Boss Gaurus melalui rangkaian gandingan Souza dan Woong Nam Kung yang dilihat berjaya mengucar-kacirkan benteng pertahanan Tok Gajah.

Nam Kung yang menjaringkan gol pertama ketika berdepan Selangor, Sabtu lalu turut berpeluang mencatat nama selaku penjaring pada minit ke-50, namun tandukan lemahnya terus ke dakapan Khairul Azhan.

0 comments:

share2