Kuala Lumpur - Golongan muda dinasihatkan agar tidak diperalatkan oleh pemimpin parti pembangkang yang terdesak mahu membebaskan Datuk Seri Anwar Ibrahim yang dipenjarakan dengan menyertai perhimpunan haram.
Ketua Pemuda Umno Bahagian Titiwangsa, Nazir Hussin Akhtar Hussin berkata, demonstrasi yang dinamakan #KitaLawan bukan sahaja diharamkan pihak berkuasa, malah langsung tidak bermanfaat.
Menurutnya, perhimpunan itu mempunyai agenda tersirat untuk membebaskan Anwar dari penjara, sedangkan hakim Mahkamah Persekutuan sebulat suara mendapati Anwar bersalah meliwat bekas pembantu peribadinya.
"Saya menyeru orang muda agar dapat berfikir secara waras, melihat fakta dan bijak menilai agar tidak tertipu menyertai perhimpunan haram yang dianjurkan semata-mata mahu membebaskan seorang individu bernama Anwar Ibrahim," katanya, semalam.
Beliau yang juga Exco Pemuda Umno berkata demikian ketika mengulas sikap keras kepala penganjur untuk terus mengadakan demonstrasi di hadapan pusat beli-belah Sogo hari ini walaupun tidak mendapat kebenaran polis.
Ketua Polis Dang Wangi Asisten Komisioner Zainol Samah dipetik sebagai berkata, penganjur tidak memberi notis 10 hari seperti disyaratkan di bawah Akta Perhimpunan Aman dan penganjur juga menolak cadangan memindahkan perhimpunan itu ke sebuah stadium.
Nazir Hussin berkata, tindakan tegas perlu diambil kepada penganjur dan peserta perhimpunan haram itu kerana secara terang-terangan mencabar pihak berkuasa dan sistem kehakiman negara.
"Kita tidak mahu demonstrasi jalanan dijadikan sebagai budaya, kita tidak mahu anak muda diperalatkan dan kita juga tidak mahu wujudnya kumpulan yang melanggar undang-undang jika hasrat mereka tidak tercapai," katanya.
Beliau turut kesal dengan sikap seorang dua bekas mahasiswa yang gagal di universiti yang kemudiannya mahu dianggap sebagai hero yang menghasut mahasiswa lain untuk menyertai mereka.
"Individu seperti ini langsung tidak boleh dijadikan sebagai contoh. Justeru saya menasihati mahasiswa agar tidak diperbodohkan oleh badut-badut politik seperti ini. Banyak isu lain yang boleh diperjuangkan," katanya.
Beliau berkata, tiada siapa yang menghalang sekiranya perhimpunan itu diadakan di kawasan tertutup atau stadium kerana tidak menyusahkan orang awam yang tidak terlibat.
0 comments:
Post a Comment