Kuantan - Seorang nelayan maut dipercayai terhidu gas bocor dari peti sejuk di atas kapalnya ketika sedang menukar diesel di sebuah jeti di Tanah Putih dekat sini, awal pagi semalam.
Ketika kejadian, mangsa, Ng Yong Piew, 42, dikatakan berseorangan di atas kapal kira-kira jam 3 pagi sedang melakukan kerja-kerja menukar diesel enjin kapalnya.
Mangsa yang beralamat di Lorong Alor Akar 33 dekat sini ditemui tidak bernyawa kira-kira jam 6 pagi oleh orang awam yang berada di kawasan itu.
Pengerusi Persatuan Perikanan Kuantan yang mahu dikenali sebagai Chia berkata, mangsa dikatakan terhidu gas peti sejuk yang bocor di dalam kapalnya sebelum tidak sedarkan diri.
Katanya, kejadian berkenaan tidak pernah berlaku di jeti itu tetapi mangsa hanya berseorangan di situ sebelum ditemui tidak bernyawa.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kuantan, Asisten Komisioner Abd Aziz Salleh mengesahkan penemuan mayat berkenaan dan memaklumkan tiada unsur jenayah.
Mayat dihantar ke Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA) untuk tindakan lanjut.
0 comments:
Post a Comment