Rangkaian Media Sosial PahangKu

.

Tuesday, November 4, 2014

TIADA UNSUR KECUAIAN, GAGAL


Persimpangan Jalan Imbi dan Jalan Hang Tuah sudah dibuka kepada laluan.


Kuala Lumpur - Tiada sebarang penambahan kos dikeluarkan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) bagi kerja-kerja pembaikan jalan di persimpangan Jalan Imbi dan Jalan Hang Tuah ekoran projek laluan bawah tanah Jalan Pudu yang mendap Julai lalu.

Datuk Bandar Kuala Lumpur, Datuk Seri Ahmad Phesal Talib berkata, pihak kontraktor projek mengambil tanggungjawab sepenuhnya sejak awal kejadian runtuhan itu.

Menurutnya, DBKL juga mendapati tiada sebarang unsur kegagalan dan kecuaian di pihak kontraktor projek.

“Ia adalah kejadian yang di luar jangka. Tiada sebarang penambahan kos dibincangkan bersama kontraktor. Pihak kontraktor juga bertanggungjawab uruskan hal tuntutan insurans bagi menyelesaikan tuntutan daripada pihak lain yang terjejas akibat kejadian ini.

“Jadi kita tidak melihat keperluan untuk ambil tindakan undang-undang terhadap kontraktor,” katanya selepas mengadakan lawatan ke tapak sempena pembukaan rasmi laluan kenderaan dari Jalan Imbi ke Jalan Hang Tuah, semalam.

Laluan kedua-dua hala bagi Jalan Imbi dan Jalan Hang Tuah ditutup sejak hari pertama kejadian mendapan bagi memberi laluan kepada kerja-kerja pembaikan jalan dengan perlaksanaan projek laluan bawah tanah secara ‘open-cut’.

Laluan dari Jalan Hang Tuah ke Jalan Imbi bagaimanapun dibuka sebahagiannya kepada lalu lintas pada 29 September lalu.

Sementara itu, Ahmad Phesal berkata, kini kerja-kerja pembinaan semula laluan atas kawasan 'open-cut' telah dibuat sepenuhnya membolehkan laluan dari Jalan Imbi ke Jalan Hang Tuah dibuka secara rasmi semalam.

Ujarnya, utiliti yang berada di kawasan terlibat termasuk kabel TNB bervoltan tinggi juga berjaya diletakkan pada kedudukan asal tanpa menjejaskan kawasan persekitaran yang bergantung dengan sumber tenaga dari kabel berkenaan.

“Projek laluan bawah tanah kini telah pun 95 peratus dan yakin dapat disiapkan sepenuhnya sebelum 10 Disember depan.

“Sementara itu, struktur bawah tanah untuk laluan U-turn dari Jalan Bukit Bintang ke Pudu Central dijangka siap pada 17 November depan sebelum dibuka kepada kenderaan.

“Manakala, struktur bawah tanah laluan U-turn dari Cheras ke Jalan Pudu/Jalan Changkat Thambi Dollah sedang giat dijalankan dan dijangka siap 5 Disember,” katanya.

Dalam kejadian 2 Julai lalu, sebahagian struktur terowong bawah tanah projek penyuraian trafik, dengan pembinaan laluan terowong dari Jalan Pudu, runtuh setelah berlaku mendapan ekoran paip air bawah tanah pecah.

0 comments:

share2