Rangkaian Media Sosial PahangKu

.

Sunday, October 26, 2014

TERPIJAK BOM LAMA


Wak Agus dan Amir (kanan) menunjukkan lokasi bom lama yang dijumpai di Kampung Repah, dekat sini, semalam.


Repah – Seorang lelaki warga emas yang sedang membersihkan kawasan kebun kelapa penduduk kampung terkejut apabila terpijak bom lama jenis Motar 60MM sepanjang 20.3 sentimeter di Kampung Repah, dekat sini, petang kelmarin.

Dalam kejadian kira-kira 6.15 petang itu, lelaki berkenaan yang dikenali sebagai Wak Agus, 60-an, segera memaklumkan penemuan itu kepada penduduk kampung yang merupakan anggota Rela, Amir Ridzuan Loorthusamy Abdullah, 53, bagi membuat laporan polis.

Menurut Wak Agus, ketika kejadian dia seperti biasa membersihkan kawasan kebun berkenaan dan memotong pokok ubi berhampiran pagar sebelum kakinya terpijak besi buruk menyerupai bom lama.

“Ini merupakan pengalaman kali kedua saya terjumpa bom lama di dalam kebun ini. 10 tahun lepas, saya tidak tahu besi buruk yang dijumpai anak saya ketika bermain di kebun ini merupakan bom lama dan menyerahkan kepada penjual besi buruk.

“Bagaimanapun, penjual berkenaan terus membuat laporan polis memandangkan besi buruk berkenaan adalah bom lama. Jadi pada kejadian kali ini saya segera memaklumkan kepada penduduk untuk membuat laporan polis,” katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Tampin, Superintenden Wooi Kooi Cheang berkata, sepasukan Unit Pemusnah Bom (UPB) Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) memusnahkan bom berkenaan di kawasan kebun berkenaan.

Menurutnya, bom lama berkenaan sudah tidak aktif dan berjaya diletupkan oleh UPB IPK.

0 comments:

share2