Rangkaian Media Sosial PahangKu

.

Tuesday, October 28, 2014

ARTIKEL DAKWA BUMI GELAP TIGA HARI ADALAH PALSU - ANGKASA

Shah Alam -- Agensi Angkasa Negara (ANGKASA) menyatakan artikel yang mendakwa bumi akan bergelap selama tiga hari berturut-turut mulai 21 hingga 23 Disember depan adalah palsu.

ANGKASA dalam satu kenyataan hari ini menyatakan bahawa artikel berbahasa Inggeris yang tersebar luas di laman sosial itu memetik Presiden Agensi Angkasa Amerika Syarikat (NASA), Charles Bolden sebagai sumber, namun tiada sebarang berita mengenainya disiarkan di laman web agensi berkenaan.

ANGKASA turut menyatakan sumber-sumber lain yang dipetik dalam artikel terbabit juga tidak dapat dipastikan kesahihannya malah menyifatkan wujud unsur penipuan menerusi penulisan berkenaan.

Menurut ANGKASA, khabar angin yang disebar menerusi artikel itu mendakwa kejadian bumi akan bergelap adalah disebabkan ribut suria yang dihasilkan oleh matahari pada ketiga-tiga tarikh tersebut.

"Untuk makluman, ribut suria dari matahari tidak menyebabkan kejadian siang atau malam, jauh sekali menyebabkan bumi bergelap malah bumi akan dilindungi oleh medan magnet (magnetosphere) yang menyebabkan kesan sebarang ribut suria dilencongkan (deflected) dan menjadi lemah sebelum sampai ke bumi.

"Apabila baki ribut ini memasuki atmosfera bumi, ia akan ternyahcas sebagai Aurora di hemisfera utara dan selatan," jelas ANGKASA.

ANGKASA turut menyatakan artikel berkenaan telah mula tersebar sejak 2012 dengan ramalan bahawa kiamat akan berlaku pada tahun tersebut.

0 comments:

share2