Rangkaian Media Sosial PahangKu

.

Monday, September 15, 2014

LALUAN PINTASAN BENTONG AKAN DIBINA


BENTONG - Masalah kesesakan jalan di bandar Bentong berada pada tahap serius apabila merekodkan sehingga 36,000 kenderaan sehari, khususnya pada musim cuti umum.

Sehubungan itu, Pengerusi MCA Bentong, Datuk Hoh Khai Mun berkata, kerajaan telah merancang untuk membina laluan pintas baharu bagi mengatasi masalah kesesakan di bandar Bentong yang kini menjadi laluan utama ke Kelantan.

"Berdasarkan kepada kajian yang kita lakukan semasa cuti umum Hari Kemerdekaan baru-baru ini, lebih 36,000 kenderaan melalui bandar Bentong sehari menyebabkan kesesakan luar biasa.

"Jadi, kita berharap laluan baharu ini akan segera dibuat dan dapat menyelesaikan masalah kesesakan lalu lintas di sini yang menjadi laluan utama ke Kelantan," katanya ketika ditemui selepas meninjau pembinaan Pusat Perniagaan Jalan Tras di sini semalam.

Yang turut hadir Yang Dipertua Majlis Daerah Bentong, Mohammad Shahid Ismail.

Menurut Khai Mun, pelan perancangan membina laluan tersebut sedang giat dilakukan dan akan melibatkan pelbagai proses, selain agensi Persekutuan serta negeri.

Bagaimanapun katanya, pihaknya tidak dapat mendedahkan lagi perincian laluan berkenaan pada masa ini yang akan melalui pelbagai proses sebelum dilaksanakan.

Dalam pada itu, beliau berkata, berdasarkan kepada maklum balas daripada penduduk setempat, rata-rata menyokong pembinaan jalan pintas berkenaan bagi mengatasi kesesakan lalu lintas.

"Sebelum ini perancangan pembinaan jalan baharu Bentong ini mendapat bantahan daripada penduduk setempat tetapi pada masa ini, mereka telah bersetuju berikutan jumlah kenderaan terlalu banyak," katanya.

0 comments:

share2