Rangkaian Media Sosial PahangKu

.

Saturday, August 16, 2014

KUANTAN - ANGIN KENCANG TERBANGKAN BUMBUNG RUMAH


Syaima bersama anak bongsunya menunjukkan keadaan atap garaj rumah yang terkopak akibat ribut berkenaan.

Kuantan – Sebanyak 17 buah rumah di sekitar Taman Sepakat, Rumah Murah Permatang Badak dan Taman Putra Putri di sini mengalami kerosakan bumbung selepas dilanda ribut lewat petang semalam.

Zabedah Dollah, 75 berkata, ketika kejadian dia baharu sahaja mahu menunaikan solat Maghrib, namun dikejutkan dengan bunyi kuat dari atas bumbung rumah.

Zabedah yang tinggal di Taman Sepakat di sini bagaimanapun masih mampu mengucap syukur kerana kejadian ribut itu tidak mengancam keselamatannya yang tinggal keseorangan di rumah itu.

“Sejak duduk di rumah ini sejak tahun 1974 lagi dan ini merupakan kejadian pertama ribut seperti gulungan kecil puting beliung yang menghentam bumbung rumah.

“Ketika itu, hujan renyai dan cuaca kelam, namun tidak sangka pula ribut kecil itu datang dan melibas kepingan bumbung,” katanya.

Selain itu, bagi Syaima Mat Hassan, 38 berkata, dia yang sedang menyuapkan makanan kepada anaknya di dapur dikejutkan dengan bunyi kuat dari bumbung rumah.

“Bunyi tersebut memang kuat sehingga saya berpelukan bersama anak-anak kerana bimbang mereka tercedera.

“Dalam masa tidak sampai dua minit, bunyi tersebut hilang dan saya melihat bumbung rumah tiada,” katanya.

Kejadian ribut tersebut hanya melibatkan deretan tujuh buah rumah di Taman Sepakat di sini, manakala rumah berdekatan yang lain, tidak mengalami sebarang kerosakan.

Sementara itu, Adun Panching, Datuk Mohd Zaili Besar berkata, pihaknya sudah mengenal pasti rumah yang terlibat bersama kakitangan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) untuk menilai kerosakan rumah penduduk yang terlibat.

Menurutnya, melalui penilaian yang dibuat JKM, penduduk akan diberikan bantuan wang ihsan untuk meringankan beban mereka.

0 comments:

share2