Rangkaian Media Sosial PahangKu

.

Saturday, August 16, 2014

CHENOR - KUBUR 200 TAHUN DIGALI SEMULA


Pelbagai pihak termasuk penduduk kampung bekerjasama memindahkan kubur lama berusia lebih 200 tahun yang terletak di tanah milik persendirian.

Chenor - Enam kubur berusia lebih 200 tahun di Padang Gayang dekat Kampung Paya Dalam, di sini digali semula untuk dipindahkan ke kawasan tanah perkuburan yang diwartakan.

Kerja menggali dan memindahkan kubur lama yang terletak di tanah hak milik persendirian itu dilakukan seperti mana permintaan tuan tanah.

Penghulu Mukim Bukit Segumpal, Ismail Mahasan berkata, kubur berkenaan antara penduduk terawal yang mendiami kampung tersebut sejak ratusan tahun lalu dan bernisan batu sungai.

Menurutnya, kawasan kubur lama itu dahulu merupakan hak milik kerajaan sebelum bertukar status kepada persendirian.

“Pada awal Januari lalu, tanah ini dijual dan dibeli individu lain yang difahamkan mahu membina sebuah rumah kediaman.

“Selepas mendapati ada beberapa kubur lama, individu terbabit mengemukakan permohonan kepada Pejabat Agama Islam daerah untuk proses memindahkan kubur berkenaan.

“Kerja menggali dan pemindahan ke Tanah Perkuburan Islam Kampung Charok Tualang berjalan lancar dalam tempoh hampir enam jam,” katanya.

Antara yang terlibat termasuk Majlis Ugama Islam dan Adat Resam Melayu Pahang (Muip), Pejabat Agama Islam Chenor, polis, unit forensik hospital, Jabatan Kerja Raya (JKR), Badan Khairat Kematian Masjid At-Taqwa Kampung Awah, JKKK Kampung Dalam serta penduduk berdekatan.

0 comments:

share2