Rangkaian Media Sosial PahangKu

.

Sunday, August 17, 2014

BUANG SEKOLAH JIKA DAPATI SERTAI KONGSI GELAP


Osman (belakang, enam kanan) dan Reezal (belakang, tujuh kanan) bergambar bersama penerima anugerah PIBG cemerlang semalam.

Georgetown - Buang sekolah adalah tindakan yang akan dikenakan terhadap pelajar yang didapati terlibat dengan mana-mana kumpulan kongsi gelap dan samseng.

Pengarah Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) Pulau Pinang, Osman Hussain berkata, penglibatan pelajar dalam aktiviti kumpulan kongsi gelap adalah masalah serius dan akan dipantau secara berterusan di setiap sekolah untuk membendungnya.

Menurutnya, JPN akan memastikan tiada elemen keganasan yang mampu mengancam pelajar atau guru berlaku di sekolah dan menjalinkan kerjasama dengan polis bagi membanterasnya.

“Sekolah adalah tempat yang paling selamat untuk pelajar menjalani pembelajaran dan aktiviti ko-kurikulum. Kita akan pastikan tiada elemen gangsterisme berlaku dalam sekolah.

“Jika kita mempunyai bukti penglibatan pelajar dalam aktiviti tidak bermoral, tindakan tegas akan diambil,” katanya kepada media selepas Konvensyen dan Penyampaian Anugerah Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) Cemerlang di sini semalam.

Sebelum ini, media melaporkan kegiatan empat pelajar yang bertindak samseng dengan meminta wang perlindungan dan membelasah pelajar lain.

Bagaimanapun, mereka ditahan polis di luar sebuah sekolah di Sungai Nibong Rabu lalu.

Semuanya berusia 15 hingga 18 tahun itu ditahan dalam dua serbuan di lokasi sekitar Georgetown dan kini direman empat hari bagi membantu siasatan.

Dalam kejadian pertama yang berlaku minggu lalu, seorang pelajar sebuah sekolah menengah di Sungai Nibong membuat laporan selepas diugut dan dipukul tiga pelajar lain.

Mangsa, pelajar tingkatan satu mendakwa dipukul tiga pelajar termasuk seorang pelajar perempuan ketika berada di sebuah kedai makan berhampiran sekolahnya.

0 comments:

share2