Rangkaian Media Sosial PahangKu

.

Thursday, August 14, 2014

ANWAR MUNGKIN HILANG JAWATAN PENASIHAT EKONOMI

Selepas memecat 5 Exco PKR dan DAP semalam, Menteri Besar Selangor Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim berkata akan membincangkan kedudukan Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai Penasihat Ekonomi Selangor pula. – Gambar The Malaysian Insider oleh Afif Abd Halim, 13 Ogos, 2014.


Nasib Ketua Umum PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai Penasihat Ekonomi Selangor kini semakin berada di penghujung apabila kedudukannya akan dikaji semula, kata Menteri Besar Selangor Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim.

Khalid berkata, pihaknya akan membincangkan kedudukan Anwar dengan 4 Exco PAS selepas memecat 5 Exco PKR dan DAP semalam.

"Itu kita akan bincang dengan Exco," katanya pada sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat Exco di Bangunan Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah (SUK) di Shah Alam, hari ini.

Anwar dilantik Khalid menjadi Penasihat Ekonomi Selangor sejak tahun 2009 dengan hanya bergajikan RM1.

Pelantikan Anwar diluluskan dalam Dewan Undangan Negeri (DUN) semasa membentangkan Bajet 2010 selepas percaya dengan latar belakang bekas Menteri Kewangan itu yang mampu membantu Selangor menjana ekonomi negeri.

"Anwar bersetuju dan menerima pelantikan ini dengan elaun tetap sebanyak RM1 sebulan, jika lebih daripada itu, dia tidak akan kerja.

"Kita sudah bersetuju dan berterima kasih kerana ada yang hendak datang menyokong kerajaan negeri Selangor dalam usaha ini," kata Khalid ketika sesi sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) ketika pelantikan Anwar.

Persoalan berkenaan kedudukan Anwar timbul apabila Khalid semalam memecat 5 anggota Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (Exco) dari DAP dan PKR, manakala mengekalkan 4 Exco dari PAS selepas parti itu memutuskan untuk bersama Khalid sehingga mesyuarat pucuk pimpinan tertinggi parti itu yang dijadualkan pada Ahad depan.

Krisis kepimpinan di Selangor memuncak apabila PKR memutuskan untuk menggantikan Khalid dengan Presiden PKR Datuk Seri Dr Wan Azizah Ismail, namun Khalid enggan menurut kehendak parti dan melepaskan jawatan beliau.

Ekoran keengganan beliau, PKR memecat keanggotaan Khalid daripada PKR pada Sabtu minggu lalu.

Khalid bagaimanapun masih lagi bertindak sebagai menteri besar selepas Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah berkenaan beliau untuk kekal menjawat jawatan itu.

Khalid kini merupakan satu-satunya pemimpin dalam DUN Selangor berada dalam blok Bebas.

Timbalan Presiden Umno yang juga Timbalan perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin turut memberikan jaminan akan kekal menyokong Khalid tanpa sebarang syarat sekiranya undi tidak percaya dilakukan di DUN terhadapnya.

BN kini mempunyai 12 bilangan kerusi DUN, manakala PAS dan DAP memiliki sejumlah 15 kerusi DUN.

Selepas pemecatan Khalid, PKR kini hanya tinggal 13 kerusi DUN.




0 comments:

share2