Rangkaian Media Sosial PahangKu

.

Thursday, August 14, 2014

ISU MB, ROZIAH BERSAMA PKR

Rodziah Ismail akur kepada keputusan PKR kerana perpegang kepada amanah dan memelihara mandat yang diberi rakyat pada PRU ke-13 lalu kepada Pakatan Rakyat untuk mentadbir negeri Selangor. – Gambar fail The Malaysian Insider, 14 Ogos, 2014.


Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (Exco) Selangor Rodziah Ismail akan bersama keputusan PKR dalam isu menteri besar, mengatakan beliau mahu memelihara amanah diberikan kepada Pakatan Rakyat (PR) untuk mentadbir negeri terkaya itu.

Keputusan ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Batu Tiga itu bermakna beliau berisiko kehilangan portfolio pengerusi Jawatankuasa Tetap Kebajikan dan Hal Ehwal Wanita Negeri Selangor dalam kerajaan negeri pimpinan Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim yang dipecat PKR pada Ahad.

“Saya ingin menjelaskan pendirian saya dalam konteks rentetan dan perkembangan mutakhir pentadbiran kerajaan di negeri Selangor.

“Dalam konteks itu, saya akan akur kepada keputusan PKR, yang saya menganggotainya. Keakuran saya itu, saya percaya, adalah untuk menunaikan amanah, memelihara mandat yang diberi rakyat pada PRU ke-13 lalu kepada PR untuk mentadbir negeri Selangor,” katanya dalam kenyataan tiga perenggan awal pagi ini.

Rodziah juga menjelaskan dalam kenyataan beliau sebelum ini berada di Bangkok, Thailand selama tiga hari mewakili PKR dalam kursus politik.

Khalid memecat lima exco PKR dan DAP pada Selasa, menyebabkan Selangor hanya tinggal empat exco daripada PAS.

Khalid semalam dilaporkan mahu memberi peluang kepada Rodziah untuk kekal dalam exco jika terus menyokongnya sebagai ketua eksekutif negeri.

Katanya, Rodziah masih exco yang sah dan akan menunggu pendirian Adun Batu Tiga itu pulang dari luar negara.

"Saya nak tunggu dia kembali dan buat keputusan. Jika beliau bersetuju bekerjasama dengan ahli exco yang ada sekarang, khidmatnya akan diteruskan.

"Kalau tidak, dia juga akan diberikan surat penamatan," katanya.

Beliau menangguhkan pemecatan Rodziah walaupun namanya ada dalam kenyataan bersama lima lagi bekas exco lain yang enggan menghormati Khalid sebagai pengerusi mesyuarat exco.

"Dia dah berjumpa dengan saya beri penjelasan sebelum ke luar negara," kata Khalid yang enggan mendedahkan butiran perbualan mereka.

Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah pada 12 Ogos lalu memperkenankan penamatan khidmat lima exco selepas Khalid memberi alasan kenyataan mereka melanggar 10 Perkara sumpah taat setia.

Proses itu hanya mengambil masa dua jam melalui surat bertulis dan menimbulkan rasa tidak puas hati exco kerana Khalid tidak menghadap Sultan mengikut undang-undang.

Istana pada petang semalam kemudiannya menyerahkan notis rasmi ke pejabat exco masing-masing dan mereka diberi tempoh dua minggu untuk mengosongkan pejabat.

Dalam Pemilihan PKR 2014, Rodziah berada dalam kem Khalid bersaing merebut jawatan ketua Wanita PKR, menentang penyandang Zuraida Kamaruddin daripada kem “Keadilan Raya” bersama Timbalan Presiden PKR Mohamed Azmin Ali.




0 comments:

share2