Rangkaian Media Sosial PahangKu

.

Sunday, August 17, 2014

AKUAN BERKANUN 30 ADUN BUKTI KHALID TIADA SOKONGAN


khalid ibrahim

Shah Alam - Kesemua 30 Adun PKR, DAP dan dua Adun Pas, Hasnul Baharuddin serta Saari Sungib bakal berdepan dengan implikasi perundangan sekiranya akuan bersumpah menyatakan sokongan terhadap Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Azizah sebagai Menteri Besar Selangor itu adalah palsu dan tidak benar.

Peguam NGO Lawyer for Liberty, Afiq M Noor berkata, menurut Seksyen 3 Akta Akuan Berkanun, 1960, menyediakan satu akuan palsu merupakan satu kesalahan jenayah dan boleh dihukum di bawah Seksyen 199 dan 200 Kanun Keseksaan.

"Saya percaya bahawa kesemua 30 Adun yang menandatangani Akuan Berkanun tersebut, telah mengetahui dan maklum akan implikasi perundangan sekiranya mereka menyediakan satu akuan palsu dan tidak benar.

"Nyata Akuan Berkanun yang disediakan oleh 30 Adun tersebut adalah satu dokumen yang serius dan mempunyai kesan di bawah undang-undang," katanya dalam satu kenyataan medianya, hari ini.

Beliau berkata demikian mengulas lanjut kenyataan Peguam Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim, Edmund Bon yang mengatakan akuan berkanun 30 Adun Selangor itu tidak boleh digunakan sebagai dokumen rasmi dan boleh berubah pada bila-bila masa.

Menurutnya lagi, jawatan Menteri Besar Selangor itu hanya boleh ditukar melalui undi tidak percaya yang dibuat semasa persidangan Dewan Undangan Negeri.

Dalam pada itu, Afiq berkata Akuan Berkanun itu merupakan satu dokumen statutori di bawah Akta Akuan Berkanun 1960 (Akta 13).

"Menurut Seksyen 2 Akta Akuan Berkanun, 1960 akuan ini hendaklah dibuat di hadapan mana-mana Hakim Mahkamah Sesyen, Majistret, Pesuruhjaya Sumpah atau Notari Awam.

"Akuan tersebut hendaklah dibuat secara sukarela di dalam Bahasa Inggeris atau Bahasa Melayu.

"Sekiranya akuan tersebut dibuat di hadapan seorang Pesuruhjaya Sumpah, Kaedah 13 (2) Kaedah-Kaedah Pesuruhjaya Sumpah 1993 memperuntukkan bahawa seorang Pesuruhjaya Sumpah tidak boleh menandatangani dan menurunkan metrainya pada sesuatu akuan sekiranya dia mempunyai alasan untuk mempercayai bahawa orang yang mengikrarkan akuan tersebut bertujuan untuk salah laku fraud, duress dan perkara-perkara yang menyalahi undang-undang," jelasnya.

Mengulas lanjut, Afiq menambah, adalah sesuatu yang mustahil dan tidak masuk akal apabila Abdul Khalid meragui 30 Adun yang tidak lagi yakin dengannya sebagai Menteri Besar Selangor.

"Akuan Berkanun tersebut menurut saya adalah bukti yang konklusif dan jelas bahawa 30 Adun ini telah hilang keyakinan terhadap kepimpinan Abdul Khalid Ibrahim.

"Sekiranya Abdul Khalid merasakan perlunya diadakan satu undi tidak percaya di dalam Dun Selangor, mengapa Abdul Khalid sendiri tidak memanggil satu sidang khas bagi membolehkan satu undi tidak percaya ke atas dirinya.

"Bola berada di gelanggang Abdul Khalid kerana seorang MB boleh memanggil satu sidang khas di Dewan Undangan Negeri," katanya lagi.

0 comments:

share2