Rangkaian Media Sosial PahangKu

.

Wednesday, December 28, 2011

Empower Lonjak Akademik Pelajar




Program latihan kemahiran akademik tajaan Majlis Pembangunan Wilayah Ekonomi Pantai Timur (ECERDC) terbukti berjaya meningkatkan pencapaian akademik pelajar di luar bandar di negeri ini.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Lurah Bilut, Datuk Ho Khai Mun berkata, ini dapat dilihat menerusi peningkatan pencapaian pelajar terlibat dalam peperiksaan Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR), Penilaian Menengah Rendah (PMR) dan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).

''ECERDC sangat bijak mengeksploitasi potensi diri pelajar di tiga daerah iaitu Temerloh, Bentong dan Lipis. Ini dibuktikan seramai 512 orang lulus dalam UPSR 2011.

''Daripada bilangan itu seramai 79 orang atau 15 peratus mendapat keputusan A dalam semua subjek yang diambil iaitu 38 orang di Temerloh, 24 pelajar di Lipis dan 17 pelajar di Bentong,'' katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas majlis penghargaan kepada pelajar cemerlang UPSR 2011 peringkat daerah Bentong tajaan ECERDC di Felda Lurah Bilut dekat sini, baru-baru ini.

Hadir sama, Pegawai Daerah Bentong, Datuk Toantowee Mohd. Lotfie, Pengurus Besar Sosial ECER, Zulkifli Yaacob dan Pengarah Pertubuhan Kemajuan Sosial Malaysia (PKSM), K. Suraindran.

Seramai enam pelajar yang memperolehi 5A dan 7A menerima barangan berupa peralatan sekolah, pakaian, buku dan sijil di samping wang tunai bagi perbelanjaan awal sesi persekolahan 2012.

Mereka yang mendapat pengiktirafan ECERDC itu ialah Mohd. Sukri Irwan Sabri, Syakirah Maryanty Abdullah, Wong Jing Wen, Chap Lap Fooong, P. Lavanya Laksmi dan M. Kaarrtini.

Sementara itu, Zulkifli berkata, program Empower terdiri daripada dua program utama iaitu latihan kemahiran akademik dan latihan kemahiran keusahawanan membabitkan 900 peserta.

Katanya, kursus kemahiran yang dilaksanakan antaranya ialah solekan dan tatarias pengantin, pembuatan kek, jahitan dan rekaan fesyen, dandanan rambut, masakan, pendawaian dan kerja-kerja pemasangan paip.

Jelasnya, penanda aras ditetapkan menerusi program ini ialah kejayaan 80 peratus peserta dapat memulakan perniagaan dengan pendapatan tambahan antara RM800 dan RM1,500 sebulan.

''Program Empower mempunyai dua misi iaitu mengajar kemahiran terbaru agar golongan sasaran dapat mencari pekerjaan lebih baik dan memenuhi keperluan modal insan," katanya.

0 comments:

share2