Rangkaian Media Sosial PahangKu

.

Wednesday, May 28, 2014

PR1MA PAHANG - CEKAP, BERKESAN DAN MELANGKAUI JANGKAAN



GAMBANG – Inilah yang boleh dikatakan mengenai projek pembinaan rumah mampu milik Perumahan Rakyat 1Malaysia (PR1MA) Negeri Pahang – yang di dalam Manifesto Barisan Nasional (BN) Negeri berjanji membina 15,000 unit dalam tempoh lima tahun antara tahun 2014 dan 2018.       

Namun, hanya dalam tempoh setahun selepas PRU ke-13 itu, sebanyak 13,257 unit atau kira-kira 88 peratus daripada sasaran 15,000 unit, telahpun bermula serta dalam pelbagai peringkat pembinaan.

Pelaksanaan PR1MA Negeri Pahang ini pula meliputi ke hampir setiap 11 daerah di negeri ini, di atas 29 tapak dengan keluasan tanah keseluruhannya kira-kira 669 hektar atau 1,651 ekar.   

Satu daripada 29 tapak itu ialah di sini, berkeluasan kira-kira 22.1 hektar atau 54.6 ekar, dengan sasaran pembinaan 308 unit.

Menteri Besar Dato’ Sri DiRaja Adnan Yaakob – mentor kepada PR1MA Negeri Pahang ini –  dengan setiap unit ditetapkan pada harga jualan RM150,000; telah hadir merasmikannya pagi Khamis, 15 Mei. 

Belum cukup dengan penjelasan yang diberikan dalam ucapan luar teks 12-minitnya, Dato’ Sri Adnan telah diminta mengulasnya lebih lanjut pada persidangan media kemudian.

“… semasa PRU-13, Barisan Nasional telah menjanjikan bahawa kalau dipilih lagi oleh rakyat, kita akan membina 15,000 unit rumah mampu milik untuk tempoh lima tahun, 2014 – 2018.

“Rupa-rupanya, dalam tempoh setahun ini, kita telah (mula) membina 13,000 (unit). Bermakna, ‘target’ (usaha mencapai sasaran 15,000 unit) itu berjalan (dengan baik). Mungkin lima-enam bulan lagi, tercapailah ‘target’,” katanya.

Sehubungan itu, beliau menjelaskan ramuan di sebalik kejayaan tersebut yang menurutnya, disandarkan kepada pendekatan ‘menang-menang’ – baik kepada Kerajaan Negeri, pemaju yang dilantik mahupun kepada rakyat kelak.    

“Kerajaan mempermudahkan segala proses birokrasi, termasuk (dengan) mengenakan premium yang sangat rendah (terhadap pemaju, yang mengusahakan tanah Kerajaan bagi pembinaan unit-unit PR1MA Negeri Pahang ini) maka pihak pemaju dapat jimat kosnya,” katanya.


0 comments:

share2