Rangkaian Media Sosial PahangKu

.

Wednesday, May 28, 2014

SINDIKET DADAH TUMPAS, RAMPASAN LEBIH RM700,000



Johor Bahru - Polis Khas Taktikal Perisikan Narkotik (STING) Polis Diraja Malaysia berjaya menumpaskan satu sindiket pengedaran dadah melibatkan rampasan 16 kilogram heroin dan dadah jenis lain bernilai lebih RM700,000 di sekitar bandar raya lewat malam Ahad.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman Datuk Noor Rashid Ibrahim berkata dalam enam serbuan yang dilakukan dalam operasi itu, seramai 21 suspek ditahan iaitu 15 lelaki dan empat wanita tempatan serta dua wanita warganegara Vietnam.

"Dalam operasi itu, STING berjaya merampas dadah jenis Heroin (16.7kg), syabu (525g), ketamin (168g) dan 257 biji pil ecstacy," katanya kepada pemberita di Ibu Pejabat Kontinjen Johor di sini hari ini. 

Antara tempat serbuan ialah Kangkar Pulai, Taman Pulai Perdana, Skudai, Larkin dan Pasir Gudang. 

"Tiga suspek daripada lima lelaki itu merupakan ketua sindiket di kawasan ini dan dipercayai mempunyai stor simpanan di negeri ini sebelum diedarkan kepada semua penagih dadah," kata beliau. 

Selain itu, Noor Rashid berkata polis turut menyita harta kepunyaan sindiket antaranya wang tunai RM50,000, barangan kemas dan 10 buah kenderaan termasuk lima kereta mewah.

Beliau berkata kejayaan ini hasil daripada maklumat orang ramai dan usaha berterusan pihak polis yang dilancarkan sejak awal tahun ini bagi memastikan kegiatan pengedaran dadah dapat dibendung.

Kesemua saspek yang berusia 18 hingga 50 tahun itu ditahan reman selama tujuh hari untuk siasatan. 

Mereka disiasat mengikut Seksyen 39 (B) Akta Dadah Berbahaya 1952, jika sabit kesalahan boleh dihukum penjara seumur hidup dan disebat tidak kurang daripada enam sebatan.

0 comments:

share2