Rangkaian Media Sosial PahangKu

.

Wednesday, April 30, 2014

BEKAS PENGARAH JKKN DIDAKWA




Kuantan - Empat individu termasuk bekas Pengarah Jabatan Kebudayaan, Kesenian Negara (JKKN) Pahang dan isteri semalam tidak mengaku bersalah atas tuduhan melakukan rasuah membabitkan kelulusan sebut harga pembekalan pakaian dan wang tunai RM7,000.

Bekas Pengarah terbabit, Sukarno Abdul Wahab, 56 dalam pertuduhan pertama sebagai pengarah JKKN Pahang ketika itu secara rasuah memperoleh RM7,000 daripada seorang individu sebagai dorongan meluluskan sebut harga pembekalan pakaian dan kostum kepada jabatan berkenaan yang dibuat Syarikat Gandik Emas Enterprise.

Rasuah itu juga bertujuan meluluskan tiga lagi pesanan kepada syarikat Gandik Emas iaitu milik isteri individu terbabit.

Dalam tuduhan kedua, Sukarno dituduh mengemukakan dokumen pesanan kerajaan bertarikh 25 Ogos 2011 berjumlah RM3,500 dan satu invosi atas nama Syarikat Azizi Mohammad kepada JKKN Pahang yang mengandungi butiran palsu perkhidmatan peralatan sistem bunyi sempena sambutan hari kemerdekaan dan Hari Malaysia 2011 di Padang MPK 1.

Hakim, Nik Nasimah Nik Mohammad mengarahkan Sukarno membayar ikat jamin RM8,000 bagi tuduhan pertama dan RM5,000 bagi tuduhan kedua.

Pihak pendakwaan sebelum itu menawarkan ikat jamin RM10,000 bagi kedua-dua kesalahan itu.

Isteri Sukarno, Asiah Hashim, 48, dituduh bersubahat memperoleh RM7,000 daripada Sulaiman Ismail sebagai dorongan untuk Mohd Sukarno meluluskan sebut harga pembekalan pakaian dan kostum kepada JKKN kepada syarikat gandik Emas.

Asiah dituduh melakukan kesalahan itu kira-kira jam 3 petang di hadapan kedai perabot Rozel, Jalan Beserah dekat sini pada 10 Januari 2011.

Asiah diarahkan membayar ikat jamin sebanyak RM6,000 dengan seorang penjamin.

Jika sabit kesalahan, kedua-dua tertuduh boleh dikenakan hukuman tidak melebihi 20 tahun dan denda tidak kurang dari lima kali ganda jumlah atau nilai suapan atau RM10,000 mengikut mana-mana yang lebih tinggi.

Dua lagi tertuduh iaitu Ahmad Shah Jaafar, 34 dan Azizi Mohammad, 49, masing-masing mengaku tidak bersalah dan meminta dibicarakan.

Ahmad Shah yang bertugas sebagai Penolong Jurutera J29 di JKKN Pahang dituduh bersubahat dengan Mohd Sukarno mengemukakan dokumen pesanan dan invois dengan butiran palsu yang pembekalannya tidak dilaksanakan.

Dia dituduh melakukan kesalahan itu pada 7 September 2011 dan Mahkamah memerintahkannya membayar ikat jamin RM4,000 dengan seorang penjamin.

Azizi Mohammad, 49, pula didakwa memberikan kepada Mohd Sukarno satu invois atas nama Syarikat Azizi Mohammad berjumlah RM3,500 mengandungi butiran palsu yang sama dan dia diarahkan membayar jaminan RM5,000 dengan seorang penjamin.

0 comments:

share2