Rangkaian Media Sosial PahangKu

.

Friday, September 22, 2017

[LURAH BILUT] 'SUSAH PULA NAK CAM MEREKA'


‘Susah pula nak cam mereka’


Meninggalkan alam persekolahan sejak 47 tahun lalu sudah tentu banyak cerita yang ingin dikongsikan 50 bekas murid Sekolah Kebangsaan (SK) Lurah Bilut sempena majlis pertemuan semula yang diadakan di sekolah itu, semalam.

Majlis yang menghimpunkan bekas murid dari 1958 berkenaan julung kali diadakan dan mereka telah memilih kantin SK Lurah Bilut sebagai lokasi menggamit kenangan ketika sama-sama melanjutkan pelajaran di sekolah tersebut.

Seorang bekas murid, Sulaiman Ramli berkata, dia gembira apabila majlis itu dapat menghimpunkan hampir keseluruhan bekas murid walaupun pada mulanya agak sukar, disebabkan ramai yang berhijrah selepas tamat persekolahan.

“Selepas tamat sekolah rendah, kami memasuki sekolah menengah yang berlainan dan ditambah pula ada rakan yang berhijrah ke tempat lain atas sebab mengikut keluarga membuatkan kebanyakan daripada kami tak lagi berjumpa selepas itu,” katanya.

Menurutnya, sebelum ini mereka mempunyai kumpulan dalam laman sosial Facebook, namun usaha untuk mengadakan reunion tidak pernah berhasil.

“Sebenarnya, saya dah lama nak sangat jumpa rakan di sekolah rendah, tetapi saya tak tahu nak cari sehinggalah Facebook wujud.

“Dari situ saya cari mereka dan kumpul kesemua rakan dengan mewujudkan grup WhatsApp,” katanya.

Menurutnya, pelbagai aktiviti diadakan bersempena majlis perjumpaan itu termasuk cabutan bertuah dan majlis tahlil bagi memperingati sahabat-sahabat mereka yang telah meninggal dunia.

Dalam pada itu, majlis tersebut turut dimeriahkan dengan kedatangan bekas guru sekolah berkenaan, Mohamed Nasir Buyong, 81.

Sementara itu, Mohamed Nasir berkata, dia tidak menyangka dan terharu dapat bertemu semula dengan bekas murid-muridnya.

“Ya ALLAH, dulu mereka semua kecil saja, sebab baru darjah 6.

“Cepatnya masa berlalu. Sekarang ni susah pula saya nak cam mereka.

“Saya bersyukur diberi keizinan oleh ALLAH untuk bertemu semula dengan mereka yang rata-ratanya telah berjaya dalam kehidupan dan sudah ada yang bercucu pun anak murid saya,” katanya kepada Sinar Harian ketika ditemui di sini, semalam.


0 comments:

share2