Rangkaian Media Sosial PahangKu

.

Sunday, September 17, 2017

AWAS KEINGINAN MELAMPAU


Jenayah seksual


KEINGINAN yang melampau di dalam diri seseorang berpunca daripada pengaruh media telah mendorong kepada berlakunya jenayah seksual khususnya terhadap kanak-kanak.

Perunding Psikologi Keluarga dan Guaman Syarie, Suzana Ghazali berkata, budaya seksual dalam kalangan kanak-kanak adalah perkara biasa di negara-negara Barat dan ia sering kali dipaparkan melalui medium media sehingga menyebabkan ada pihak yang terpengaruh.

“Disebabkan itu, ada pihak yang mempunyai keinginan melampau sehingga menyebabkan mereka terlibat dalam jenayah seksual di kalangan kanak-kanak ini,” katanya kepada Sinar Harian.

Mengulas lanjut mengenai perkara itu, Suzana memaklumkan bahawa hubungan mesra tanpa batasan juga dapat mewujudkan ruang untuk perlakuan jahat oleh seseorang individu ke atas kanak-kanak.

Beliau berkata, penampilan anak-anak kecil yang mencetuskan keinginan gila telah mendorong pihak tidak bertanggungjawab untuk melakukan jenayah tersebut.

“Sepatutnya, anak-anak ini diajar berpakaian menutup aurat dari awal supaya dapat menggelakkan berlakunya jenayah seksual ini,” katanya.

Dalam pada itu, Suzana menjelaskan bahawa kesan yang dihadapi oleh mangsa jenayah seksual ini bergantung kepada cara layanan dan kepercayaan masing-masing.

Menurutnya, sekiranya mangsa dipaksa, dia sememangnya akan mengalami trauma dan perlukan rawatan psikologi untuk membantu mereka meneruskan kehidupan di masa hadapan.

“Jika mangsa suka sebab dilayan dengan baik, maka dia akan alami ketagihan dan memerlukan rawatan untuk bantuan bagi meneruskan hidup dengan lebih baik,” katanya.

Sehubungan itu, Suzana menjelaskan bahawa semua pihak khususnya golongan ibu perlu lebih prihatin dengan pergaulan anak mereka dan tidak terlalu memberikan kepercayaan kepada orang lain untuk menjadi penjaga mereka termasuk suami sendiri.

Katanya, dengan penubuhan Mahkamah Jenayah Seksual Terhadap Kanak-Kanak baru-baru ini, ia diharap dapat membantu dalam mengurangkan kes-kes jenayah seksual khususnya di kalangan kanak-kanak," katanya.

Mangsa trauma, jejas masa depan

Kanak-kanak yang menjadi mangsa jenayah seksual akan berdepan dengan pelbagai kesan buruk serta turut menjejaskan masa depan mereka.

Pakar kriminologi, Shahul Hamid Abd Rahim berkata, mangsa terlibat akan berhadapan dengan kesan trauma teruk malah pembesaran mereka juga pastinya turut terganggu ekoran daripada insiden malang menimpa mereka itu.

“Susah sebenarnya untuk mereka bangkit semula dari kisah hitam itu dan mereka ini sebenarnya memerlukan sokongan dari banyak pihak kerana ia melibatkan masa depan mereka,” katanya.

Mengulas lanjut mengenai jenayah seksual terhadap kanak-kanak, Shahul berkata, ibu bapa sebenarnya memainkan peranan penting dalam memastikan anakanak mereka berada di bawah jagaan pihak yang benar-benar diyakini.

Selain itu, Shahul berkata golongan ibu juga perlu mengenal pasti sikap sebenar suami bagi menggelakkan anak-anak mereka menjadi mangsa rogol dan liwat oleh ahli keluarga sendiri.

“Serangan seksual terhadap kanak-kanak ini banyak, ada yang melibatkan pihak luar dan ada yang dari dalam keluarga sendiri.

“Jadi di sinilah ibu bapa memainkan peranan yang penting dalam memastikan anak-anak mereka berada dalam keadaan selamat,” katanya.

Untuk mengawal permasalahan ini, Shahul menjelaskan bahawa mahkamah perlu mengenakan hukuman berat kepada setiap pesalah yang dikaitkan dengan jenayah tersebut bagi memastikan ia menjadi contoh kepada pihak-pihak lain.

Tambahnya, hukuman penjara, denda dan sebatan dilihat sudah memadai bagi memberi kesedaran kepada setiap pesalah yang terlibat.

“Dengan langkah ini, pihak di luar akan dapat lihat yang mahkamah benar-benar mengambil serius mengenai jenayah seksual terhadap kanak-kanak ini dan ia sekali gus menakutkan mereka untuk berbuat demikian,” katanya.


0 comments:

share2