Rangkaian Media Sosial PahangKu

.

Friday, August 25, 2017

PLUS TAWAR REBAT TOL HINGGA 30 PERATUS


PLUS


Kuala Lumpur - Plus Malaysia Berhad (PLUS) menawarkan rebat tol sehingga 30 peratus kepada pengguna rangkaian lebuh raya PLUS yang menggunakan kad PLUSMiles sempena sambutan Hari Kebangsaan dan perayaan Aidiladha yang akan datang. 

Pengarah Urusan Plus, Datuk Azman Ismail berkata rebat itu ditawarkan selama dua hari iaitu bagi perjalanan pada 29 Ogos dan 4 Sept.

“Pengguna kad Touch ‘n Go juga berpeluang menikmati rebat tol sebanyak 10 peratus pada tarikh sama.

“Orang ramai masih perlu membayar tol dengan kadar biasa dan rebat 30 peratus dan 10 peratus itu akan dimasukkan dalam kad PLUSMiles dan kad Touch ‘n Go (dalam bentuk tambah nilai) apabila mereka menambah nilai kad di pusat khidmat pelanggan PLUS antara 15 Sept sehingga 14 Dis,” katanya dalam satu kenyataan di sini semalam.

Bagaimanapun, beliau berkata rebat ini tidak meliputi transaksi di plaza tol Bukit Kayu Hitam, Bangunan Sultan Iskandar, Tanjung Kupang dan Jambatan Pulau Pinang.

Menurutnya rebat tol itu hanya diberikan kepada pengguna kenderaan Kelas 1 (kereta atau kenderaan ringan dengan dua gandar dan tiga atau empat roda kecuali teksi) yang bergerak untuk perjalanan melebihi 100 kilometer.

Azman berkata pemberian rebat ini sebahagian daripada langkah PLUS mengagihkan trafik pada musim perayaan selain menghargai sokongan orang ramai terhadap perkhidmatan lebuh raya PLUS.

PLUS turut menjangka sebanyak 1.7 juta kenderaan akan menggunakan Lebuhraya Utara-Selatan setiap hari pada hari-hari puncak sempena cuti Hari Kebangsaan dan perayaan Aidiladha, peningkatan sebanyak 21 peratus berbanding 1.4 juta kenderaan sehari pada hari-hari biasa.

Kata Azman, PLUS turut mengeluarkan Jadual Cadangan Waktu Perjalanan (TTA) untuk perjalanan di Lebuhraya Utara-Selatan bagi tempoh 25 Ogos hingga 4 September ini. 

“TTA merupakan pendekatan Plus untuk mengagihkan trafik dan mengurangkan kesesakan di laluan utama lebuh raya, plaza tol dan kawasan rehat,” katanya.


0 comments:

share2