Rangkaian Media Sosial PahangKu

.

Friday, August 25, 2017

[JERANTUT] 'BUKAN GULA-GULA POLITIK'


‘Bukan gula-gula politik’


Sumbangan Parlimen Jerantut kepada bakal mahasiswa yang akan melanjutkan pengajian ke institusi pengajian tinggi awam dan swasta (IPTA/S) bukanlah gula-gula politik bagi raih undi rakyat daerah ini.

Ahli Parlimen, Datuk Ahmad Nazlan Idris berkata, sumbangan itu dihulurkan bagi meringankan beban pelajar dan ibu bapa yang perlu menanggung kos pengajian anak-anak mereka.

“Seramai 150 pelajar lepasan SPM dan STPM menerima RM200 dan ini adalah sumbangan kali ketiga yang dibuat berdasarkan peruntukan disediakan oleh Parlimen Jerantut sendiri.

“Tiada peruntukan khas, sebaliknya ia sebagai satu bentuk penghargaan pihak kami kepada ibu bapa dan pelajar sekali gus sebagai satu bentuk sokongan kepada mereka yang mahu melanjutkan pengajian ke peringkat lebih tinggi,” katanya.

Menurutnya, pemberian itu juga diharap dapat memberi cetusan kepada pelajar supaya dapat menggunakan sepenuhnya peluang melalui sistem pendidikan dilaksanakan kerajaan kita.

Ahmad Nazlan yang juga Pengerusi Kolej Polytech Mara (KPTM) menyeru ibu bapa tidak berputus asa menghantar anak menyambung pelajaran meskipun gagal memasuki universiti awam.

“Pelajar yang tidak dapat mana-mana tawaran namun berminat melanjutkan pengajian boleh memasuki lapan buah Kolej Universiti Polytech Mara (KUPTM) di seluruh negara yang menawarkan pelbagai kursus dengan yuran pendaftaran serendah RM250 sahaja sebelum 9 September ini.

“Pelajar yang menerima tujuh kepujian dalam SPM dan 3.0 STPM layak mendapat tajaan penuh Mara. Bawa surat tawaran kepada Mara dan sekiranya layak akan menerima bantuan sebanyak RM1,000 sehingga RM2,000,” katanya.

Dalam pada itu, beliau mengingatkan pelajar supaya tidak terjebak dengan politik yang menjatuhkan kerajaan sedia ada.

“Jangan mudah terpedaya dengan dakwaan pihak tertentu bertujuan menghasut untuk menjatuhkan kerajaan sebaliknya beri tumpuan sepenuhnya kepada pembelajaran," katanya.


0 comments:

share2