Rangkaian Media Sosial PahangKu

.

Thursday, December 29, 2016

[MARAN] KERAJAAN PRIHATIN ISU RUMAH


Kerajaan prihatin isu rumah


Sebanyak 136 rumah dibina semula dan 92 buah rumah daif dibaikpulih Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) seluruh negara, tahun ini.

Ahli Parlimen Maran, Datuk Sri Ismail Abd Muttalib berkata, daripada jumlah tersebut, dua daripadanya adalah rumah bina semula di daerah Maran iaitu di Chenor.

Menurutnya, bagi kos bina semula kerajaan memperuntukkan sebanyak RM1.9 juta menerusi Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah serta Unit Penyelarasan Pelaksanaan Jabatan Perdana Menteri, manakala bagi kos baik pulih kerajaan memperuntukkan sebanyak RM920,000 menerusi Bahagian Kesejahteraan Bandar (BKB) Kementerian Kesejahteraan Bandar dan Kerajaan Tempatan.

"Jumlah ini menunjukkan keprihatinan kerajaan dalam menyediakan kediaman selesa kepada masyarakat setempat. Pada tahun hadapan, projek ini akan diteruskan lagi dan saya harap di Daerah Maran akan ada calon terpilih untuk menerima kemudahan ini secepat mungkin.

"Justeru, pihak Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK), penghulu dan ketua kampung perlu segera melengkapkan permohonan calon supaya kita dapat proses dan tapis dengan kadar segera. Khususnya penduduk yang mempunyai masalah kediaman," katanya.

Beliau turut berpesan, mereka yang tidak terpilih janganlah mempertikai mengapa mereka tidak layak kerana peruntukan adalah terhad dan kerajaan perlu mendahulukan calon yang lebih memerlukan.

"Ada banyak tapisan dan semakan yang kerajaan perlu lakukan baik di peringkat daerah, negeri dan persekutuan. Mohon dan isi borang secepat mungkin supaya tindakan susulan dapat dilakukan dengan segera," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media Penyerahan Kunci Rumah kepada Sazarudin Sahudin di Kampung Jengka Batu 13, di sini, semalam 

Beliau berharap dengan adanya rumah baharu, Sazarudin sekeluarga dapat menjalani kehidupan lebih selesa.

Pada Julai 2012, Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak telah mengarahkan Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan bersama Kementerian Dalam Negeri untuk melaksanakan program Kejiranan Indah (My Besutiful Neighbourhood - MyBN) di bawah Strategi Lautan Biru Kebangsaan (NBOS).

Projek MyBN ini telah diperluaskan kepada Porgram House Build kepada mangsa yang dilanda bencana kebakaran rumah berdasarkan syarat-syarat kelayakan. 

Program House Build ini telah dipertanggungjawabkan kepada Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia dengan menggunakan sepenuhnya tenaga kerja anggota bomba yang mempunyai kepakaran dalam pembinaan rumah.

Hadir sama, Pengarah JBPM Pahang, Datuk Abdul Wahab Mat Yasin; Ketua Pengarah JBPM Malaysia, Datuk Wira Mohd Nor Ibrahim.


0 comments:

share2