Rangkaian Media Sosial PahangKu

.

Thursday, December 29, 2016

[ROMPIN] JADI POLIS TUNAIKAN CITA-CITA AYAH


Jadi polis tunaikan cita-cita ayah


“Selama tiga tahun berkhidmat di Ibupejabat Polis Daerah (IPD) Rompin, sokongan dan kerjasama daripada rakan-rakan setugas, anggota atau pegawai sangat baik hingga tak rasa pun saya keturunan India."

Demikian luah Inspektor Prabu a/l Parimuthu, 29, yang berkhidmat di Cawangan Siasatan Jenayah dan sangat selesa menjalankan tugas walaupun dikelilingi oleh majoriti rakan setugas berketurunan Melayu.

Beliau yang berasal dari batu Pahat, Johor, berkata, beliau memilih kerjaya sebagai polis adalah demi menunaikan hasrat ayahnya yang mahu sekurang-sekurang seorang daripada empat anaknya menjadi polis.

“Selama berkhidmat saya diberi layanan yang sama dengan semangat Malaysia hingga kan tak pernah rasa saya keturunan India sedangkan majoriti anggota dan pegawai adalah Melayu, mereka beri sokongan dan kerjasama yang sangat baik.

“Lagi satu, saya sebenarnya menunaikan cita-cita ayah, dulu dia nak jadi polis tapi tak dapat, jadi dia mahu seorang anaknya jadi polis, tak sangka saya anak bongsu yang tunaikan cita-cita dia,” katanya kepada Sinar Harian ketika ditemui pada Lawatan Kerja Ketua Polis Pahang, Datuk Seri Sharifuddin Ab Ghani ke IPD Rompin, semalam.

Seramai 15 anggota dan pegawai serta lima orang awam menerima Surat Penghargaan Ketua Polis Pahang manakala 20 anggota menerima Anugerah Perkhidmatan Cemerlang (APC) 2016 pada majlis itu.

Prabu yang juga merupakan lulusan Ijazah Sarjana Muda Ekonomi Sumber Alam dari Universiti Malaysia Terengganu (UMT) turut mengucapkan terima kasih kepada semua rakan-rakan setugas yang banyak memberi tunjuk ajar.

“Selepas tamat latihan dan ditempatkan di IPD Rompin, ketika itu saya memang kosong tapi rakan-rakan senior banyak membantu dan beri tunjuk ajar terutama dalam menjalankan siasatan kes jenayah serta sebagainya,” katanya.


0 comments:

share2