Rangkaian Media Sosial PahangKu

.

Thursday, December 29, 2016

TENTERA PANTAU NEGERI PANTAI TIMUR


Tentera pantau negeri Pantai Timur


Kota Bharu - Briged Kelapan Infantri sedang memberi tumpuan kepada perkembangan semasa keadaan banjir yang dihadapi negeri di pantai timur khususnya di Kelantan dan Terengganu. 

Panglimanya, Brig Jen Nazari Abd Hadi berkata, pihaknya sentiasa membuat pemantauan kenaikan paras air sungai di kedua-dua negeri dari semasa ke semasa pada musim tengkujuh ini sebagai panduan sebelum pemindahan penduduk ke pusat pemindahan banjir dilaksanakan. 

"Banjir di Kelantan dan Terengganu merupakan fenomena biasa setiap tahun dan pihak kami sudah bersiap sedia menghadapi sebarang kemungkinan berlakunya banjir," katanya. 

Beliau bercakap kepada pemberita selepas merasmikan Majlis Meraikan Anggota Cedera Semasa Operasi dan Latihan Sempena Hari Ulang Tahun Angkatan Tentera Malaysia (ATM) Ke-83 di Kem Desa Pahlawan di sini, semalam. 

Nazari berkata, pihaknya turut menjalin kerjasama rapat dengan pihak berkuasa lain yang berkaitan dengan pengurusan banjir bagi melaksanakan operasi secara bersepadu. 

Pada majlis berkenaan, Nazari menyampaikan sumbangan kewangan daripada Tabung Kebajikan ATM kepada 33 bekas anggota tentera yang cedera semasa melakukan operasi dan latihan. 

Beliau berkata, mereka yang menerima sumbangan berkenaan terdiri daripada anggota Briged Kelapan Infantri yang berkhidmat melaksanakan operasi pengganas komunis pada 70-an dan 80-an.

"Sumbangan ini, walaupun dilihat kecil, namun membawa makna besar kepada mereka (anggota) kerana mereka tahu walaupun tidak lagi berkhidmat bersama ATM, pihak ATM sentiasa mengingati perjuangan dan jasa mereka kepada negara," katanya.


0 comments:

share2