Rangkaian Media Sosial PahangKu

.

Thursday, December 15, 2016

[KUANTAN] RISAU PADANG ADA HAIWAN LIAR


Risau padang ada haiwan liar


Penduduk di Kampung Jaya Gading di sini meminta agar pihak berkenaan membaiki tiang gol rosak dan menyelenggara kawasan padang itu segera bagi memudahkan golongan belia bersukan dan beriadah.

Penduduk mendakwa padang itu tidak diselia dengan baik sejak tiga bulan lalu apabila rumput panjang dan dipenuhi pokok besar.

Melihat keadaan demikian, mereka bimbang bahaya menimpa orang yang berada di kawasan terbabit sekiranya tiada tindakan segera diambil.

Seorang penduduk, Zamri Awang Besar, 40, berkata, dia kerap mendengar rungutan berhubung perkara itu dan ada antara mereka mendakwa takut untuk bermain di kawasan padang terbabit bimbang ada haiwan liar seperti ular.

“Budak-budak muda memang perlukan sangat tempat bersukan, tapi keadaan padang macam ni boleh bahayakan mereka.

"Kena selenggara balik padang ni supaya boleh buat macam-macam aktiviti," katanya ketika ditemui Sinar Harian di padang itu di sini, semalam.

Menurutnya, keadaan padang berkenaan cantik dan permukaannya juga baik dan sesuai digunakan untuk bermain bola sepak.

“Tapi tiang gol kena dibaiki sebab rosak dan boleh tumbang bila-bila masa," katanya.

Dalam pada itu Mohamad Ali Basir, 30, juga melontarkan pandangan serupa.

Katanya, sekiranya ada kemudahan di padang tersebut, golongan muda khususnya dapat mengisi masa lapang dengan kegiatan berfaedah.

“Kalau ada kemudahan mesti mereka gunakan untuk macam-macam benda. Setiap petang kami boleh main bola sepak," katanya.

Dalam pada itu, dia turut meminta pihak berkenaan membina pagar berhampiran hutan bagi mengelak sebarang perkara buruk berlaku.

Sementara itu, Adun Pulau Manis, Datuk Khairuddin Mahmud berkata, pihaknya ada menerima aduan penduduk mengenai masalah itu.

Katanya, kini pihaknya sedang berusaha untuk membaiki tiang gol dan menyelenggara padang itu dengan kadar segera.

“Insya-ALLAH awal tahun depan kita pasang tiang gol baru. Buat sementara ni saya dah arahkan penduduk untuk membersihkan padang itu dengan kadar segera,” katanya.


0 comments:

share2