Rangkaian Media Sosial PahangKu

.

Thursday, December 15, 2016

[BERA] ANGKAT MARTABAT PERMAINAN GASING


Angkat martabat permainan gasing


Menyedari bahawa gasing mempunyai tarikan tersendiri merentasi zaman, Persatuan Gasing Pangkah Kampung Felda Sungai Kemahal telah mengambil beberapa inisiatif bagi mempopularkan kembali permainan tradisional itu.

Pengerusinya, Mohamed Shaipudin Baba berkata, pihaknya telah menganjurkan pelbagai pertandingan gasing pangkah sebagai salah satu tarikan orang ramai untuk berkunjung ke kampung itu.

“Orang ramai terdiri daripada pelbagai peringkat umur akan datang untuk lihat sendiri keunikan permainan gasing, sekali gus boleh menyatukan masyarakat di daerah ini.

“Kami yakin, sekiranya pertandingan seumpama ini giat dianjurkan, permainan tradisional kita dapat dikekalkan selain diperkenalkan kepada pelancong.

“Ini merupakan langkah paling ampuh yang diambil bagi menjaga dan mempopularkan kembali warisan gasing pangkah ini,” katanya.

Menurutnya, dia mengakui permainan itu semakin dilupakan dan kurang dimainkan apatah lagi dengan adanya kemajuan teknologi pada masa kini.

Katanya, gasing bukan sekadar satu permainan untuk mengisi masa lapang tetapi satu pengajaran mengenai kehidupan.

“Bermain gasing mengajar kita banyak perkara, antaranya semangat kerjasama dan kepentingan melihat satu-satu perkara dari sudut yang pelbagai,” katanya.

Dalam pada itu, Shaipudin berharap permainan gasing dapat diterima lebih jauh di peringkat antarabangsa.

“Saya mahu lihat permainan ini menjadi salah satu acara di dalam Sukan Malaysia (Sukma) dan seterusnya Sukan Asia Tenggara.

“Pada hari ini, bukan sahaja Malaysia yang ada persatuan gasing, malah banyak lagi negara Asia Tenggara yang sudah membangunkan persatuan masing-masing.

“Kalau permainan lain seperti takraw, petanque, boling padang dan lainnya boleh dimainkan di sukan tersebut, kenapa gasing tak boleh?,” katanya.


0 comments:

share2