Tanjung Lumpur suatu ketika dahulu dikenali sebagai kawasan penempatan nelayan dan kebanyakan penduduknya dibelenggu kemiskinan.
Bagaimanapun, selepas sebuah jambatan yang menghubungkannya dengan bandar Kuantan dibina, kawasan itu mula bertukar wajah.
Daripada perkampungan memancing tradisional, Tanjung Lumpur kini menjadi kawasan berpotensi
membangun dek kerana tempias kepesatan pembangunan fizikal bandar Kuantan.
Tanah-tanah penduduk bertukar tangan kepada pemaju untuk dibangunkan dengan pelbagai projek, termasuk kawasan perumahan dan komersial untuk menampung pertambahan penduduk.
Cadangan pembinaan jambatan kedua ke kawasan itu dijangka melonjakkan potensi pembangunan Tanjung Lumpur dan kawasan sekitarnya, selain harga tanahnya yang semakin bernilai tinggi.
Wartawan Sinar Harian, Erma Yusnida Jusoh, Diana Surya Abdul Wahab, Rosilawati Rosedi, Mohd
Ridzuan Abu Hassan dan Norawazni Yusof menyingkap transformasi kampung yang terawal dibuka di Kuantan itu.
Kewujudan Tanjung Lumpur dikatakan bermula apabila sekumpulan perantau dari Terengganu yang menjalankan aktiviti menangkap ikan tertarik untuk membina penempatan di kawasan tanjung yang menghadap Laut China Selatan.
Penempatan penduduk di situ dikatakan wujud sekitar awal 1920 apabila lebih 500 rumah kayu bertiang dibina di pesisir pantai dan ada juga yang membina rumah di kawasan darat, kira-kira 50 meter dari pantai dan penduduk ketika itu bekerja sebagai nelayan.
Kedudukannya berdekatan muara Sungai Kuantan, menyebabkan pantai tersebut berlumpur hasil pertemuan endapan lumpur sungai dan laut.
Nama tanjung Lumpur diambil sempena keadaan pesisir pantainya yang dipenuhi lumpur sedalam kira-kira satu meter.
Bentuk muka bumi pesisir pantainya kemudian mengalami perubahan mengikut peredaran masa apabila berlaku hakisan pantai serius, hingga menjejaskan struktur rumah.
Perubahan masa terus menyaksikan lumpur di pantai itu juga kini semakin berkurangan.
Tanjung Lumpur kini mengalami proses transformasi pesat apabila rancak dibangunkan dengan pelbagai projek termasuk perumahan, komersial, premis perniagaan, pusat pengajian dan hospital swasta.
Anak jati Tanjung Lumpur, Hasiah Jusoh, 61, berkata, dia dilahirkan dan dibesarkan di perkampungan itu bersama tujuh adik-beradiknya dan ketika itu bapanya mencari rezeki dengan turun ke laut sebagai nelayan.
Menurutnya, bapanya, Jusoh Deraman yang sudah meninggal dunia berasal dari Kuala Terengganu dan merupakan antara penduduk terawal di Tanjung Lumpur. Mereka membina rumah kira-kira 50 meter dari pantai.
“Siapa yang sampai dulu, mereka akan bina rumah di bahagian darat tidak jauh dari pantai dan yang sampai kemudian terpaksa bina rumah kayu tiang tinggi betul-betul dekat pantai dan kedudukannya rapat antara satu sama lain.
“Sebelum Jambatan Tanjung Lumpur dibina, penduduk guna khidmat bot penambang (perahu) untuk ke Bandar Kuantan melalui Sungai Kuantan dengan tambang ketika itu 10 sen sebelum naik paling tinggi 50 sen.
“Keadaan lumpur di sini pada masa itu memang tebal hingga paras lutut orang dewasa dan memang tak ada yang mandi di pantai kerana berlumpur,” katanya.
Hasiah berkata, ibunya, Lijah Mat, 89, bekerja mengambil upah menjemur ikan dan sotong kering bagi menampung perbelanjaan keluarga.
Menurutnya, rumah mereka yang asal didirikan di atas tanah milik pengusaha jeti bot penambang dan selepas tanah itu dijual kepada pihak lain, mereka terpaksa berpindah ke Flat Pak Mahat
“Rumah kayu lama yang masih ada kini milik penduduk yang dibina atas tanah sendiri. Bagi mereka yang tumpang atas tanah orang, kena pindah ke Flat Pak Mahat.
“Masa saya kecil sehinggalah berusia awal 20-an, kawasan ini tidak pernah sunyi kerana Tanjung Lumpur sejak dari dulu seperti sebuah pekan kecil. Ada yang buka perniagaan kedai makan dan kedai gunting rambut,” katanya.
Bergantung kepada hasil laut sara hidup
Kehidupan penduduk di Tanjung Lumpur asalnya bergantung kepada laut demi sesuap nasi dan nelayan turun menangkap ikan seawal jam 2 pagi.
“Dulu pakai perahu layar dan pukat sudu.. jadi nak tangkap ikan kena beramai-ramai dan kawasan tangkapan tidak berapa jauh dari kawasan pantai,” kata Hasiah.
Menurutnya, sejak pembinaan Jambatan Tanjung Lumpur pada 1996, kawasan itu rancak membangun dan kini menjadi destinasi popular penggemar makanan laut.
Katanya, walaupun kawasan itu pesat membangun, sebahagian penduduk meneruskan pekerjaan sebagai nelayan dan ada yang mampu menggunakan bot-bot lebih besar namun ramai dalam kalangan generasi muda berhijrah mencari rezeki.
“Menurut cerita dari ibu saya, Tanjung Lumpur ini mempunyai sejarah ketika zaman penjajahan tentera Jepun kerana kawasan ini menjadi laluan pesawat.
“Dulu ada kesan letupan bom dijatuhkan pesawat tentera Jepun tidak jauh dari pantai tetapi sekarang kesan itu sudah ditimbus tanah,” katanya.
Seorang lagi penduduk, Zakaria Besar, 57, berkata, dia dibesarkan di penempatan asal di pantai Tanjung Lumpur yang satu ketika dahulu padat dengan penduduk sehingga barisan rumah-rumahnya berlapis tiga.
Menurutnya, ketika berusia 17 tahun, dia dan keluarga berpindah ke Kampung Baru Peramu berikutan hakisan pantai yang serius merosakkan struktur rumah asal mereka.
“Kerajaan beri tanah lot kepada penduduk terlibat untuk berpindah dan kini tapak asal iaitu berhadapan Masjid Tanjung Lumpur bakal dibangunkan untuk projek pembangunan.
“Ayah dan ibu saya berasal dari Terengganu dan ada juga penduduk yang datang dari Kelantan...tapi tidak ramai dan semua penduduk bekerja sebagai nelayan.
“Bila air surut, boleh lihat dengan jelas pantai ini dipenuhi lumpur yang dalam namun sekarang lumpur makin berkurangan kerana hakisan pantai,” katanya.
0 comments:
Post a Comment