Rangkaian Media Sosial PahangKu

.

Monday, February 20, 2017

[KUANTAN] BERUANG MASUK KONDOMINIUM BERJAYA DITANGKAP


Beruang masuk kondominium berjaya ditangkap


Seekor beruang matahari yang dikesan berkeliaran di blok penginapan Kuantan Tembeling Condominium di sini sejak sebulan lalu berjaya ditangkap, awal pagi kelmarin.

Haiwan itu difahamkan memasuki perangkap dipasang Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) berhampiran Mini Zoo Taman Teruntum, kira-kira jam 12.15 tengah malam kelmarin.

Adun Teruntum, Sim Chong Siang berkata, beliau menghargai usaha pihak Perhilitan dan Majlis Perbandaran Kuantan (MPK) menangkap haiwan itu yang sebelum ini berkeliaran sehingga menimbulkan ketakutan dalam kalangan penduduk.

Menurutnya, kebimbangan penduduk terhadap ancaman haiwan itu sudah selesai, bagaimanapun beberapa perkara perlu diteliti semula pihak berkaitan termasuk Prosedur Operasi Standard (SOP) terhadap aduan berkaitan ancaman haiwan liar.

“Kita berharap tindakan segera yang lebih berkesan diambil setiap kali berlaku masalah ini kerana ia melibatkan keselamatan penduduk,” katanya.

Sementara itu, Pengarah Perhilitan Pahang, Ahmad Azhar Mohamed mengesahkan penangkapan beruang matahari yang sebelum ini dilaporkan dilihat berkeliaran di Mini Zoo Taman Teruntum, di sini.

Menurutnya, beruang seberat 45 hingga 50 kilogram dianggarkan berusia antara tiga dan empat tahun itu memasuki perangkap yang dipasang berhampiran mini zoo berkenaan.

Katanya, pihaknya percaya ia beruang sama yang dilihat di Tembeling Resort, kira-kira dua kilometer dari zoo mini tersebut pada 18 Januari lalu.

Beliau berkata, selepas menerima aduan, pihaknya bertindak memasang sebuah perangkap manakala sebuah perangkap lagi daripada MPK dan dua lagi ditambah selepas itu.

Katanya, MPK memindahkan satu daripada perangkap itu ke kawasan zoo mini terbabit setelah menerima laporan mengenai kehadiran mamalia berkenaan di situ dan ia membuahkan hasil.

Ahmad Azhar berkata, beruang matahari yang ditangkap itu akan dihantar ke Pusat Menyelamat Hidupan Liar Kebangsaan (NWRC) di Sungkai, Perak untuk dikuarantin selama 40 hari bagi saringan penyakit sebelum dilepaskan ke habitat baharu.


0 comments:

share2