Rangkaian Media Sosial PahangKu

.

Sunday, July 8, 2018

[ROMPIN] ELAK BERPECAH, KEMBALI PADA PERJUANGAN ASAL



Hasnul Hassan



Menang atau kalah dalam pemilihan bukan perkara yang menjadi penyebab perpecahan dalam kalangan ahli Umno.

AJK Umno Bahagian Rompin, Hasnul Hassan, berkata, mengelakkan itu berlaku ahli dan pimpinan perlu balik kepada matlamat asal.

Menurutnya, renung kembali niat ketika menyertai Umno dan sepatutnya kemasukan ke dalam parti adalah demi penyatuan.

“Patutnya kita masuk Umno ini adalah untuk penyatuan, bukan untuk berpecah, kalau ada sedikit sebanyak agenda yang mungkin tak tertunai kenalah akur.

“Di peringkat pemilihan perwakilan dah matang dan mereka memberi kepercayaan kepada orang yang diyakini,” katanya ketika ditemui Sinar Harian, semalam.

Beliau berkata, kemenangan yang diperoleh pula bukan untuk dibanggakan kerana semua itu tidak akan dapat tanpa dorongan dan sokongan ahli.

“Pimpinan yang dipilih itu adalah kehendak dan pilihan perwakilan, jadi berhenti menyalahkan antara satu sama lain,” katanya.

Bekas Adun Tioman, Dato' Md Rusli Ismail, pula berpendapat bahawa Dato' Sri Hasan Arifin tidak sepatutnya dicabar terutama dalam keadaan politik masa kini.

Menurutnya, kewibawaan Hasan sebagai pemimpin berkaliber di peringkat bahagian dan diterima segenap lapisan masyarakat.

“Ini pandangan saya sebagai orang lama, pemilihan telah pun selesai, sekarang masa untuk fokus semula khususnya di peringkat pusat bagi memperkuatkan parti,” katanya.


0 comments:

share2