Rangkaian Media Sosial PahangKu

.

Wednesday, December 14, 2016

[KUANTAN] PASANGAN KEKASIH DIDAKWA MILIKI PISTOL, 45 BUTIR PELURU


GAMBAR HIASAN


Sepasang kekasih mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini hari ini, atas tuduhan memiliki sepucuk pistol dan 45 butir peluru, dua minggu lalu.

Tertuduh Chun Yeap Guan, 39, seorang penjual rokok dan pasangannya Goh Kah Lee, 40, didakwa dengan niat bersama memiliki sepucuk pistol Sig Sauer P239 pada pukul 2.30 pagi, 1 Disember lalu di sebuah premis di Lorong Alor Akar 26, di sini.

Perbuatan itu merupakan kesalahan yang boleh dihukum mengikut Seksyen 8 Akta Senjatapi (Penalti Lebih Berat) 1971 yang membawa hukuman penjara maksimum 14 tahun dan sebatan tidak kurang enam kali, jika sabit kesalahan.

Mereka juga dihadapkan di hadapan Hakim Siti Aminah Ghazali atas pertuduhan memiliki 45 butir peluru jenis AP 15 9MM Luger tanpa lesen atau permit pada masa dan di alamat sama, yang merupakan kesalahan yang boleh dihukum di bawah Seksyen 8(a) Akta Senjata 1960.

Bagi kesalahan itu, tertuduh boleh dihukum penjara maksimum tujuh tahun atau denda sehingga RM10,000 atau kedua-duanya sekali, jika disabitkan.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Fatinah Abu Bakar manakala peguam Bob Arumugam mewakili kedua-dua tertuduh.

Chun yang berasal dari Kulim, Kedah dan Goh yang beralamat di Bukit Mertajam, Pulau Pinang tidak ditawarkan jaminan.

Siti Aminah menetapkan 4 Januari depan sebagai tarikh sebutan semula kes.


0 comments:

share2