Rangkaian Media Sosial PahangKu

.

Wednesday, December 14, 2016

[JERANTUT] ‘TOLONG CARI IBU KANDUNG DIA'


‘Tolong cari ibu kandung dia’


"Tolong cari ibu kandung dia" rayu seorang ibu angkat yang kini sedang mencari ibu kandung kepada anak angkat yang dibela sejak tiga tahun lalu bagi membuat proses pendaftaran penyerahan anak angkat.

Ibu terbabit, Fazilah Manan, 48, berkata, dia menerima untuk menjaga anak angkatnya, Mohammad Nur Iman Abdullah, 3, dari sepupu kepada jirannya, tiga tahun lalu.

Katanya, dia hanya mengetahui ibu anak angkatnya dengan nama Husnul, 36, berwarganegara Indonesia berdasarkan sijil kelahiran Mohamad Nur Iman yang didaftarkan di Jabatan Pendaftaran Negara Kuala Selangor.

"Saya tidak tahu siapa ibu kandungnya. Sepupu jiran datang dan minta saya jagakan anak ini. Dia kata, tidak ada orang hendak menjaga anak ini memandangkan ketika itu sepupu jiran itu sudah punya lima anak lelaki.

"Sepupu jiran itu juga beritahu ibu ‎kandung dia tidak mahu jaga anak ini dan mahu ia diambil dan diserahkan kepada sesiapa yang mahu menjaganya," katanya.

Fazilah berkata, kerana kasihan melihat anak yang baharu berusia satu hari ketika itu, dia dan suami Suwoyo Marsudi, 58, pun mengambil keputusan untuk menjaganya.

Tambah Fazilah, memandangkan anak angkatnya itu dilahirkan sebagai bukan warganegara, maka ia akan menyukarkan pelbagai urusan termasuk pendaftaran persekolahan apabila anak itu berusia 7 tahun.

"Memandangkan anak saya ini bukan warganegara, urusan perubatan akan dikenakan caj yang tinggi. Malah apabila bersekolah nanti juga, saya difahamkan yuran persekolahan juga akan menjadi mahal.

"Jadi saya ingin mencari ibu kandungnya kerana mahu menjalankan urusan penyerahan hak penjagaan sebagai anak angkat saya sekali gus membolehkan saya mendaftarkannya sebagai pemastautin tetap," katanya.

Fazilah berkata, sepupu jirannya juga turut membantunya mencari ibu kandung Mohamad Nur Iman, namun sehingga kini masih gagal. 

"Kali terakhir sepupu jiran itu dapat tahu yang ibu kandung dia (Mohamad Nur Iman) sudah pulang ke Indonesia. Tapi manalah tahu kalau ibu kandung dia datang semula ke sini untuk bekerja‎," katanya. 

Fazilah dalam pada itu turut membuat dua laporan polis bagi mengesahkan Mohamad Nur Iman yang dilahirkan di Klinik Mesra sekitar Selangor merupakan anak di bawah jagaannya selain mengesahkan bahawa anak terbabit bukan diculik. 

Orang awam yang mempunyai sebarang maklumat mengenai ibu kandung Mohamad Nur Iman yang hanya dikenali sebagai Husnul untuk menghubungi Fazilah di talian 013- 9317961.


0 comments:

share2