Rangkaian Media Sosial PahangKu

.

Saturday, November 12, 2016

[RAUB] KERJASAMA RAMAI BANTERAS SOROK MINYAK MASAK DIHARGAI


minyak masak


Kerajaan Pahang berterima kasih dan menghargai kerjasama orang ramai yang menyalur maklumat bagi membanteras kegiatan tidak bertanggungjawab menyembunyi dan menyeleweng subsidi minyak masak di negeri ini. 

Exco Koperasi Usahawan dan Kepenggunaan Pahang, Datuk Seri Shahiruddin Ab Moin berkata kerjasama itu membolehkan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) negeri membongkar kegiatan itu menerusi beberapa siri rampasan sejak beberapa hari lepas.

"Kerajaan negeri berterima kasih kepada orang ramai yang mulai sedar bahawa peranan mereka penting bagi membanteras kegiatan tidak bertanggungjawab itu yang menyusahkan masyarakat kerana minyak masak adalah keperluan pada masa kini," katanya.

Shahiruddin yang juga Adun Dong berkata demikian semasa ditemui pada Majlis Jamuan Makan bersama anggota Jabatan Sukarelawan Malaysia (Rela) di Kampung Lecar di sini, malam tadi.

Beliau menambah sikap membantu anggota penguatkuasaan itu perlu diteruskan dalam penyaluran maklumat yang bukan sahaja membabitkan minyak masak, malah barangan lain bagi memastikan peniaga, pemborong dan pengilang mematuhi peraturan. 

KPDNKK Pahang dalam minggu ini giat melakukan pemeriksaan ke atas premis perniagaan dan pengilang berkaitan minyak masak selepas menerima beberapa aduan berkaitan kekurangan bahan itu di pasaran. 

Antara rampasan yang dilakukan ialah minyak masak seberat 950 kilogram (kg) bernilai RM2,375 di Jerantut dan 3,315kg minyak masak bernilai RM17,043 yang disembunyikan di tempat penyimpanan tidak berlesen di Temerloh.

Jumaat lalu, KPDNKK Pahang menyita sebuah kilang pembungkusan semula minyak masak di Pekan yang disyaki menyeleweng subsidi minyak masak bernilai lebih RM113,000 sejak Januari lalu, walaupun telah tidak beroperasi sejak setahun.


0 comments:

share2