Rangkaian Media Sosial PahangKu

.

Saturday, November 18, 2017

[MARAN] TUALANG BERHANTU SIMPAN BANYAK KISAH


Tualang berhantu simpan banyak kisah


Pokok tualang tunggal berusia 500 tahun menjadi mercu tanda Kampung Kuala Wau yang terletak di daerah ini.

Kewujudannya menjadi lambang kebanggaan penduduk kerana ia yang biasanya ditemui di dalam hutan tetapi wujud di tengah-tengah kampung berkenaan.

Berdasarkan cerita diwarisi daripada generasi ke generasi, Syaaban Abdul Manap berkata, dahulunya terdapat dua batang pokok tualang, namun satu daripadanya dimusnahkan kerana dikatakan membawa penyakit kepada penduduk ketika itu.


“Dulunya ada dua pokok. Yang satu lagi tu dibakar penduduk. Menurut ceritanya, ada sepasang suami isteri membakarnya sebab kononnya pokok tersebut berhantu menurut kata tok bomoh. Iyalah, zaman dulukan kalau berubat mana ada doktor," katanya.

Ishak Md Atan, 60-an pula berkata, dahulunya pada zaman adanya Home Guard, pokok tualang tunggal ini pernah cuba dimusnahkan dengan cara ditembak ke bahagian atasnya.

"Tetapi usaha itu tidak berjaya mematikan pokok tersebut sebaliknya masih wujud untuk tatapan generasi sehingga kini.

“Dulu ada penduduk tinggal di seberang sungai berdekatan pokok ni, jadi kalau nak tebang bimbang tumbang dan hempap rumah penduduk.

"jadinya, mereka pun tembak supaya ia mati perlahan-lahan kononnya, tapi tak berjaya,” katanya.

Ramli Jais, 70-an pula mengisahkan pada zaman kanak-kanaknya, pokok tersebut menjadi tabo dalam kalangan masyarakat.

“Kami budak-budak tak dibenarkan duduk dekat dengan pokok ni. Takut. Macam-macam diceritakan untuk buat kami tak main di sini. Tapi budak-budak mana nak dengar sangat pesan orang tua. Adakala kami datang juga ambil kayunya untuk buat gasing.

“Sebelum ni, penduduk kampung tak tahu bahawa kewujudan pokok tualang yang terletak di pertengahan kampung ni dah cecah usia ratusan tahun.

"Sebab itu, harapan penduduk supaya kampung kami, yang mana tumbuhnya pokok tualang tua ni, dijadikan tapak khazanah warisan negara untuk tatapan generasi akan datang,” katanya.

Pokok tualang kebiasaannya hanya boleh ditemui di dalam hutan, namun lain pula kisahnya dengan pokok tualang ini yang berada di dalam kampung berhampiran sungai terpanjang di semenanjung Malaysia, Sungai Pahang.

Khazanah alam yang cukup bernilai ini bukan sahaja dikatakan mencecah usia ratusan tahun, malah menjadi mercu tanda kampung tersebut yang dinamakan Tualang Tunggal.

Bagaimanapun, kajian lebih teliti masih belum dilaksanakan.

Uniknya, walaupun usia pokok ini telah mencecah ratusan tahun, namun saiznya tidak mengalami banyak perubahan walaupun sudah menempuhi lebih daripada tiga generasi penduduk kampung di sini.

Ia juga dikatakan boleh mengeluarkan buah, namun hanya dalam tempoh lima hingga enam tahun sekali dan menjadi persinggahan burung enggang yang berada di sekitar Kampung Kuala Wau.

Dahulu, selain mengambil madu tualang di pokok ini, penduduk juga pernah menggunakan akarnya untuk buat gasing tradisional.


0 comments:

share2