Rangkaian Media Sosial PahangKu

.

Saturday, November 12, 2016

[KUANTAN] SEDIH NELAYAN JUAL SAMPAN


Sedih nelayan jual sampan


Nelayan dan petani di negeri ini diingatkan supaya jangan menyalahgunakan bantuan yang diberikan untuk kepentingan diri sendiri.

Exco Pembangunan Luar Bandar, Pertanian dan Industri Asas Tani Negeri, Datuk Shafik Fauzan Sharif berkata, dia mendapat maklumat bahawa ada bantuan yang diberikan dijual kepada pihak ketiga.

Menurutnya, kerajaan negeri menyediakan pelbagai bantuan untuk membantu golongan berkenaan menjalankan projek masing-masing.

“Bagaimanapun, saya sedih apabila ada segelintir menjual enjin dan sampan yang diberikan. Kalau tak perlu, mengapa buat permohonan? Masih ramai mereka yang layak dan memerlukan bantuan terbabit,” katanya ketika berucap pada Majlis Penyampaian Traktor kepada Pertubuhan Ekonomi Nelayan Kampung Seri Cempaka, semalam.

Hadir sama, Pengarah Perikanan Pahang, Datuk Adnan Hussain dan Pengerusi Pertubuhan Ekonomi Nelayan Kampung Seri Cempaka, Kamarisan Zahari.

Shafik Fauzan berkata, setiap bantuan yang diberikan kepada golongan berkenaan adalah sebagai bukti keprihatinan kerajaan yang mahu nelayan dan petani memanfaatkan kemudahan tersebut.

“Kita bagi bantuan supaya nelayan dan petani dapat ke laut, dapat tangkap ikan dan boleh jual seterusnya dapat duit.

“Kalau jual peralatan yang kita bagi, macam mana nak buat kerja dan sebagainya. Kita akan meneliti setiap permohonan yang diterima selepas ini agar individu yang dikenal pasti menyalahgunakan bantuan tidak disenaraikan,” katanya.

Dalam pada itu, beliau berkata, kemudahan traktor itu diharap dapat meringankan beban nelayan di kawasan itu dan harus digunakan sebaik mungkin.


0 comments:

share2