Rangkaian Media Sosial PahangKu

.

Friday, November 11, 2016

BACAAN AL-QURAN TEMAN WAKTU PAGI


Bacaan al-Quran teman waktu pagi


Tanah Merah - Alunan ayat suci al-Quran dari surau sebuah pusat dakwah memecah kesunyian pagi warga Kampung Chawas, dekat sini, pada setiap Khamis minggu kedua setiap bulan sejak lima bulan lalu.

Bacaan al-Quran beramai-ramai itu diselang-seli dengan tazkirah, kelas pengajian kitab agama yang asas dan taklimat isu semasa yang menyentuh agama Islam.

Penyelia Penggerak Masyarakat Parlimen Tanah Merah, Drs Azmi Ismail berkata, semua aktiviti tersebut merupakan pengisian program Ta’lim Dun Bukit Panau di Pusat Dakwah Chawas.

Menurutnya, selepas mula diperkenalkan sempena perasmian pusat dakwah itu Jun lalu, program berkenaan kini disertai kira-kira 60 peserta dalam kalangan penduduk setempat.

“Semua aktiviti dalam program ta'lim ini tertumpu kepada penambahan dan peningkatan ilmu agama untuk diterapkan kepada masyarakat,” katanya semalam.

Azmi memberitahu, program itu dianjurkan Penggerak Masyarakat Jabatan Pembangunan Persekutuan (JPP) Kelantan dengan sokongan Pejabat Dun Bukit Panau dan Umno bahagian.

Katanya, tenaga pengajar program ta’lim yang berlangsung dari jam 8 pagi hingga 12 tengah hari itu terdiri daripada guru agama dalam kalangan penggerak masyarakat di bawah jabatan berkenaan.

“Program ini dapat sokongan Pengarah Dun Bukit Panau, Dayang Saniah Awang Hamid. Manakala Ketua Umno bahagian ini, Datuk Seri Ikmal Hisham Abdul Aziz berperanan sebagai pemantau,” ujarnya.


0 comments:

share2