Rangkaian Media Sosial PahangKu

.

Wednesday, November 2, 2016

‘HANYA ALLAH TAHU DERITA DITANGGUNG'


Nor Insyirah Sadli


Sungai Manik - Tiada kata yang mampu diluahkan tatkala melihat susuk seorang bayi perempuan berusia hampir sebulan terbaring di atas katil sambil menyusu menggunakan tiub yang dimasukkan ke dalam mulutnya.

Nor Insyirah Sadli disahkan menghidap penyakit hydrocephalus sejak berada di dalam kandungan ibunya lagi.

Lebih menyedihkan lagi, bayi istimewa ini juga turut disahkan menghidap penyakit spina bifida yang disebabkan oleh masalah tumbesaran tulang belakang serta saraf tunjang.

Sekali sekala bayi istimewa anugerah ALLAH ini cuba menggerakkan tangan serta membuka mulutnya bersama linangan air mata seolah-olah membisikkan kesakitan yang ditanggungnya.

Doktor maklum kepala bayi dikandung tidak normal

Bagi ibunya, Siti Nor Jamilah Ewan, 25, dan bapanya, Sadli Jalani, 43, segala yang berlaku diterima dengan hati terbuka serta penuh keredaan kerana ALLAH SWT adalah sebaik-baik pengatur kehidupan.

Menurut Nor Jamilah, doktor sudah memaklumkan kepadanya mengenai penyakit Nor Insyirah kandungannya memasuki tujuh bulan.

"Hanya ALLAH sahaja tahu bagaimana perasaan kami ketika itu, dan doktor maklumkan bahawa kepala anak yang dikandung ketika itu besar daripada biasa. Saya boleh buat pilihan untuk lahirkannya pada bila-bila masa melalui pembedahan.

"Tetapi saya tak mahu dan nekad tunggu sehingga sembilan bulan untuk buat pembedahan bagi memastikan Nor Insyirah dilahirkan cukup bulan," katanya ketika ditemui di rumah mereka di Sungai Lampam, semalam.

Katanya, ketika bayinya itu dilahirkan pada 5 Oktober lalu, ukuran kepalanya bersaiz 54 sentimeter (cm) dan ia terus membesar kepada 56.3cm pada 23 Oktober lalu.

"Doktor memaklumkan bahawa kepala Nor Insyirah akan terus membesar dari semasa ke semasa, dan dia juga memerlukan penjagaan rapi termasuk memberinya susu menggunakan tiub.

"Ibu mana yang tidak meruntun hati melihat puterinya terpaksa menanggung derita sedemikian dan kalau boleh saya berdoa kepada ALLAH supaya sembuhkan Nor Insyirah," katanya.

Ditanya sama ada Nor Insyirah bakal menjalani pembedahan atau tidak, Nor Jamilah berkata, doktor yang merawat bayinya memaklumkan bahawa risiko untuk menjalani pembedahan sangat tinggi.

"Ini kerana penyakit hydrocephalus yang merupakan lebihan cecair dalam kepalanya mengalir turun ke bahagian belakang badan Nor Insyirah dan menyebabkan dia mengalami masalah spina bifida.

"Selepas beberapa hari dilahirkan, dia boleh menggerakkan kakinya seperti biasa, namun beberapa hari kemudian, kakinya dah tak boleh digerakkan," katanya.

Ibarat sudah jatuh

ditimpa tangga Sementara itu, Sadli berkata, hidupnya boleh diibaratkan seperti sudah jatuh ditimpa tangga kerana dia turut mempunyai masalah kesihatan yang menyebabkannya hampir hilang daya penglihatan.

"Tiga tahun lalu doktor mengesahkan saya menghidap masalah radang mata yang menyebabkan mata sebelah kanan dah tak boleh melihat dan kini ia merebak ke mata sebelah kiri pula.

“Saya pernah terima rawatan bagi mengubati penyakit ini beberapa bulan lalu namun tak berhasil. Malah mata sebelah kiri saya makin kabur sehingga menyebabkan saya tidak bekerja,” katanya.

Dia yang bekerja kampung sebelum ini risau apabila memikirkan nasib anak-anaknya yang masih kecil, terutama sekali Nor Insyirah berikutan dia sudah tidak mampu menanggung keluarga.

"Buat masa ini kami sekeluarga hanya harapkan duit bantuan daripada Baitulmal, dan dengan penyakit Nor Insyirah ini ia semakin sukar kerana perlu membeli susu serta barangan penjagaannya.

"Apa yang mampu saya lakukan adalah berdoa supaya ALLAH SWT membantu kami sekeluarga dan meringankan beban yang ditanggung," katanya.

Bantu ringankan beban

Dalam pada itu, Adun Sungai Manik, Datuk Zainol Fadzi Paharudin yang turut hadir menziarahi Nor Insyirah berkata, pihaknya melalui Pusat Khidmat Dun Sungai Manik akan cuba membantu keluarga berkenaan menggunakan saluran yang ada.

"Saya turut berasa sedih melihat kesakitan yang terpaksa ditanggung Nor Insyirah dan mendoakan dia kembali sihat serta dapat menjalani kehidupan seperti kanak-kanak normal yang lain.

"Pada masa sama, saya juga akan memastikan anak-anak Sadli serta Nor Jamilah tidak tercicir daripada persekolahan memandangkan Sadli tidak bekerja ekoran masalah radang mata yang dihadapinya,” katanya.


0 comments:

share2