Rangkaian Media Sosial PahangKu

.

Wednesday, November 2, 2016

[KUANTAN] JAMBATAN BAHARU AKAN DIBINA BAGI MENGHUBUNGKAN BANDAR KUANTAN KE BANDAR PUTRA


Lagi jambatan baharu bakal dibina


Sebuah lagi jambatan baharu merentasi Sungai Kuantan bagi menghubungkan bandar Kuantan ke Bandar Putra, Tanjung Lumpur, di sini, yang melibatkan kos kira-kira RM181 juta akan dibina.

Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Fadillah Yusof berkata, pembinaan jambatan kedua itu bagi mengurangkan kesesakan trafik yang sering berlaku susulan kebergantungan kepada jambatan sedia ada.

Menurutnya, jambatan yang dijadualkan siap sepenuhnya pada 14 Ogos 2019, akan bermula dengan pembinaan jalan dari persimpangan Jalan Pintas Bukit Setongkol dan Jalan Tanah Putih melalui sebahagian Jalan Sri Kemunting 2 seterusnya merentasi Sungai Kuantan dan berakhir di Tanjung Lumpur.

“Antara skop kerja dilaksanakan bagi projek ini ialah membina jalan empat lorong berkembar dari Jalan Tanjung Lumpur ke persimpangan Jalan Tanah Putih/Jalan Pintasan Bukit Setongkol.

“Pembinaan ini mengikut piawaian Jabatan Kerja Raya (JKR) U5 Jenis III sepanjang 2.5 kilometer (km) merangkumi jalan baharu sepanjang 1.29 km, menaik taraf jalan sedia ada sepanjang 0.48km, membina jambatan baharu sepanjang 451 meter merentasi Sungai Pahang dan membina satu persimpangan lampu isyarat baharu di Jalan Tanjung Lumpur.

“Projek ini turut merangkumi kerja menaik taraf satu persimpangan T di Jalan Tanah Putih dan Jalan Pintas Bukit Setongkol kepada persimpangan lampu isyarat,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita ketika ditemui pada Majlis Pecah Tanah Projek Jambatan Baharu Merentasi Sungai Kuantan Menghubungi Bandar Kuantan ke Bandar Putra, Tanjung Lumpur yang disempurnakan oleh Tengku Mahkota Pahang, Tengku Abdullah Sultan Ahmad Shah, di sini, semalam.

Hadir sama, Menteri Besar, Datuk Seri Adnan Yaakob; Yang Dipertua DUN, Datuk Seri Ishak Muhamad; Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Seri Muhammad Safian Ismail dan barisan exco kerajaan negeri.

Sementara itu, Tengku Abdullah berterima kasih kepada kerajaan persekutuan kerana memberikan perhatian kepada pembangunan infrastruktur di negeri ini.

“Kita di negeri ini bertuah dan bersyukur terhadap komitmen dan fokus yang diberi perhatian terhadap pembangunan infrastruktur di sini.

“Saya masih ingat lagi, sekitar tahun 70an sebelum berpindah ke Kuantan ketika mengikuti ayahanda saya sempat menaiki feri merentasi Sungai Kuantan dan adakala hanyut juga kerana enjin rosak.

“Jika direnung kembali, saya rasa bersyukur sepanjang tempoh itu hingga sekarang, banyak nikmat dapat dirasai rakyat Pahang,” titahnya.

Tengku Abdullah turut menyuarakan kerunsingan baginda berhubung isu ketiadaan bekalan air yang masih berlaku di beberapa daerah di negeri ini.

“Saya tidak boleh terima kerana Pahang merupakan pengeksport air ke Selangor dan Kuala Lumpur, namun masalah air di negeri tetap berlaku dan kita tidak dapat atasi.

“Saya harap pihak Pengurusan Air Pahang Berhad (Paip) lebih proaktif mencari jalan penyelesaian.

“Kalau duduk diam dan tidak mencari jalan penyelesaian, kita tidak akan diterima oleh rakyat....masalah ini menjadi keutamaan kepada saya,” titah baginda.

0 comments:

share2