Kuantan - Penduduk Kampung Ubai di sini seolah-olah terkepung apabila terputus perhubungan sejak 30 Disember lalu ekoran dua laluan yang menghubungkan kampung itu ditenggelami air sehingga satu meter (m).
Penduduk kampung yang dianggarkan seramai hampir 1,000 orang tiada pilihan lain selain terpaksa menaiki bot sejauh kira-kira 4 kilometer yang memakan masa selama 20 minit untuk ke Kampung Cherok Paloh sebelum menaiki kereta atau pengangkutan awam ke bandar Kuantan.
Ekoran masalah banjir yang melanda kempung itu yang dijangka berlarutan sehingga dua minggu, penduduk yang bekerja dan perlu berurusan di bandar Kuantan menghadapi kesulitan untuk berulang alik.
Bagaimanapun kesulitan yang dilalui mereka berakhir apabila RapidKuantan bersama pejabat Dun Inderapura mengambil inisiatif menyediakan perkhidmatan bot untuk mengangkut penduduk ke Cherok Paloh secara percuma untuk menaiki bas bermula 1 Januari lalu.
Lebih menggembirakan, syarikat terbabit juga turut menawarkan perkhidmatan bas secara percuma kepada penduduk kampung itu untuk berulang alik sehingga laluan tersebut pulih sepenuhnya.
Ketua Pegawai Operasi RapidKuantan, Zainurul Hakim Mohamad berkata, keputusan itu dibuat selepas perkhidmatan bas di laluan 401 menghubungkan Hentian Bandar-Ubai tidak dapat diteruskan akibat jalan ditenggelami air.
Menurutnya, prihatin terhadap kesulitan yang dihadapi penduduk, satu perbincangan dilakukan bersama Adun Inderapura, Datuk Shafik Fauzan Sharif, Ketua Kampung Ubai, Kadri Ahmad dan penduduk dan hasilnya mereka bersetuju menggunakan dua bot milik penduduk untuk membawa penumpang secara percuma bermula jam 8.30 pagi hingga 4 petang.
“Rapid Kuantan menampung kos perkhidmatan bot ini sehingga perjalanan bas di laluan itu dapat beroperasi seperti biasa
“Hari ini (semalam) pihak RapidKuantan sudah pun menghulurkan sumbangan kepada pengendali bot yang terlibat seperti yang dijanjikan,” katanya.
Menurutnya selain laluan itu, beberapa laluan lain terpaksa dihentikan sementara atas faktor keselamatan kerana laluan ditenggelami air yang tinggi dan berisiko.
Sementara itu, Shafik Fauzan sebelum ini berkata, keputusan itu dibuat segera hasil tinjauannya bersama pihak RapidKuantan ke kawasan itu beberapa hari lalu selepas dimaklumkan penduduk bahawa mereka terkepung akibat terputus hubungan.
“Kita jangkakan, keadaan air ini bertahan hingga dua minggu sebelum surut sepenuhnya sekiranya tiada hujan dalam tempoh beberapa hari ini.
“Selain Kampung Ubai, beberapa kampung lain termasuk Kampung Semangat, Kampung Cherok Paloh antara yang terjejas,” katanya.
Beliau berkata, masyarakat nelayan di kampung itu juga memberikan persetujuan menjadi sukarela dan menggunakan bot mereka untuk mengangkut penduduk ke pangkalan darat sementara di Cherok Paloh sebelum menaiki bas RapidKuantan.
“Kita harap dengan perkhidmatan disediakan ini, penduduk tidak mempunyai masalah untuk berurusan di bandar Kuantan atau ke destinasi lain,” katanya.
Dalam tinjauan itu, beliau turut meninjau pusat pemindahan banjir di Sekolah kebangsaan (SK) Ubai yang ketika itu menempatkan 388 mangsa daripada 88 keluarga.
Beliau berkata, secara keseluruhannya beliau berpuas hati dengan bantuan dan keperluan yang disediakan kepada mangsa banjir di pusat pemindahan itu.
“Kita juga akan fikirkan untuk mengadakan aktiviti yang sesuai sebagai pengisian kepada mangsa banjir.
“Pada masa yang sama, kita juga turut menghulurkan bantuan makanan kepada 520 penduduk kampung ini yang tidak berpindah kerana rumah mereka juga turut dinaiki air melalui bantuan daripada pihak Jabatan kebajikan Masyarakat (JKM) dan agihan juga sudahpun dilakukan,” katanya.
0 comments:
Post a Comment