Rangkaian Media Sosial PahangKu

.

Monday, October 24, 2016

RUGI RM48,250 GARA-GARA RAKAN FB, WHATSAPP


facebook


Besut - Akibat percayakan kenalan di laman sosial Facebook dan WhatsApp, seorang guru wanita mendakwa kerugian RM48,250 apabila ditipu awal bulan ini. 

Ketua Polis Daerah Besut, Superintendan Mohd Zamri Mohd Rowi berkata, guru tersebut mendakwa hanya menyedari dirinya tertipu setelah melakukan transaksi sebanyak 11 kali ke dalam dua akaun bank yang berbeza bermula 11 Oktober lalu.

"Pada 11 Oktober lalu kenalan mangsa dikatakan pergi ke Sarawak dan telah meminta bantuan mangsa supaya memasukkan wang ke dalam dua akaun bank atas nama Mohd Faisal Fauzi dan Umadevi A/P Raj dengan alasan untuk membuka kad ATM di sebuah bank lain di Miri.

"Kerana terlalu percayakan kenalannya itu dan tidak mengesyaki diri ditipu, guru berkenaan telah melayani permintaan tersebut dengan memasukkan wang melalui transaksi ke dalam kedua-dua akaun berkenaan melalui sebuah bank di Jertih di sini," katanya kepada media di sini hari ini.

Mohd Zamri berkata, setelah melakukan transaksi wang yang diminta, kenalannya dikatakan terus mendesak supaya mangsa menghantar lagi wang kepadanya namun tidak diendahkannya dan memutuskan untuk membuat laporan polis.

Menurutnya, kes tersebut akan disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu.

Sementara itu, dalam kejadian berasingan, seorang doktor kerugian RM29,800 apabila melayani mesej menerusi emel yang mendakwa daripada sebuah bank dan mengarahkannya supaya mengemaskinikan akauannya pada Sabtu lalu.

Mohd Zamri berkata, mangsa yang berusia 52 tahun kemudian mengemaskinikan akaunnya menerusi laman web dan turut memberikan nombor Kod Pengesahan Transaksi (TAC) seperti yang diminta.

"Mangsa kemudian mendapati wang daripada akaunnya sebanyak RM29,800 telah dipindahkan ke akaun sebuah bank lain atas nama Jacenta@Ja setelah mengemaskini akaunnya seperti diarahkan," katanya.

Beliau berkata, pihaknya sedang melakukan siasatan terperinci dan kes disiasat mengikut Seksyen 4(3) Akta Jenayah Komputer 1997.

Berikutan dua kes berkenaan, Mohd Zamri meminta orang ramai supaya lebih berhati-hati dan tidak mudah tertipu dengan permintaan pihak yang tidak dikenali melalui media sosial atau arahan daripada telefon atau emel bagi mengelakkan daripada ditipu.

Katanya, jika menerima sebarang arahan supaya mengemaskinikan akaun, tindakan terbaik ialah mendapatkan pengesahan daripada bank sebelum melakukan sesuatu.


0 comments:

share2