Rangkaian Media Sosial PahangKu

.

Thursday, October 27, 2016

[KERATONG] ENAM KEDAI MUSNAH TERBAKAR


Enam kedai musnah terbakar di Felda Keratong 8


Enam buah kedai musnah dalam kejadian kebakaran di Felda Keratong 8, di sini, sekitar jam 12.30 tengah malam semalam, di sini.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Muadzam Shah, Penolong Penguasa Bomba, Aslam Hakim Abdullah berkata, pihaknya menerima panggilan pada jam 12.34 tengah malam dan jentera dengan kekuatan enam anggota segera ke lokasi.

Menurutnya, pada peringkat awal operasi pemadaman terdapat halangan disebabkan arus elektrik yang masih mengalir sekali gus menyukarkan anggota untuk masuk ke dalam bangunan untuk melakukan pemadaman.

"Anggota bertindak melakukan pemadaman secara 'defensive' iaitu dari luar bangunan terlebih dahulu sambil mengarahkan bilik kawalan untuk menghubungi pihak TNB untuk memutuskan bekalan elektrik.

“Beberapa minit kemudian pihak TNB tiba dan memutuskan bekalan elektrik membolehkan anggota bertindak masuk ke dalam bangunan untuk melakukan pemadaman secara 'offensive' iaitu secara dekat,” katanya kepada Sinar Harian.

Beliau berkata, ketika proses pemadaman dilakukan, anggota terdedah dengan bahaya yang disebabkan dinding dan bumbung bangunan boleh jatuh pada bila-bila masa serta bahan-bahan lain yang terdapat dalam bangunan.

Katanya, anggota turut melakukan proses 'cooling' pada dinding luar bangunan agar kebakaran tidak merebak ke bangunan bersebelahan dan akhirnya ia dapat dikawal pada jam 2.58 pagi semalam.

“Anggota bertindak melakukan kerja-kerja 'overhaul' iaitu memastikan dan memeriksa bangunan serta kawasan sekitar selamat daripada sebarang punca yang boleh menyebabkan kebakaran berlaku semula.

“Operasi tamat sepenuhnya pada jam 4.03 pagi manakala jumlah kerugian masih dalam siasatan,” katanya.


0 comments:

share2