Rangkaian Media Sosial PahangKu

.

Saturday, July 2, 2016

SALAH GUNA MEDIA SOSIAL SUMBANG JENAYAH SEKSUAL


media sosial


Kuala Lumpur - Keghairahan kanak-kanak dan remaja dalam menggunakan aplikasi media sosial amat membimbangkan berikutan statistik yang menyumbang terhadap jenayah seksual.

Perkara ini dimaklumkan Ketua Penolong Pengarah Bahagian Siasatan Seksual, Wanita dan Kanak-Kanak (D11), Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Asisten Komisioner Ong Chin Lan.

Menurutnya, berdasarkan laporan statistik, pada tahun lalu sebanyak 184 kes jenayah seksual dilaporkan.

“Daripada jumlah itu, 138 kes adalah melibatkan mangsa yang berkenalan melalui Wechat, Facebook (35 kes), dan selebihnya melalui WhatsApp serta Beetalk,” katanya dalam sidang media di Bukit Aman, semalam.

Dalam pada itu, pada tahun ini sejak Januari hingga Mei, sebanyak 63 kes dicatatkan.

Beliau berkata, daripada jumlah itu, jumlah tertinggi adalah Wechat dengan 47 kes diikuti Facebook sebanyak 12 kes dan seterusnya WhatsApp (tiga kes) serta Beetalk (satu kes).

Katanya, apa yang disimpulkan di sini, aplikasi sosial ini telah dieksploitasi oleh individu tidak bertanggungjawab sejak perkembangan teknologi maklumat yang pesat berkembang sejak lima tahun lalu.

Tambahnya, berdasarkan perbandingan pada dua tahun ini, Wechat mencatatkan statistik tertinggi berbanding aplikasi lain atas beberapa faktor.

“Kerisauan kita, kebanyakan golongan yang menjadi mangsa seksual ini berusia lingkungan 13 hingga 15 tahun. Dalam usia begini, mereka dilihat seperti baru mendapat kebebasan dari kawalan ibu bapa.

“Dari segi psikologi, usia sebegini mereka memerlukan kawan dan tertarik dengan pasangan berlainan jantina. Polis percaya sekiranya mereka ini diberi didikan agama dan dorongan ibu bapa, kita yakin unsur-unsur jenayah seksual boleh dihindarkan,” katanya.

Menjelaskan tentang modus operandi jenayah ini, beliau memberitahu, mangsa ini akan dipujuk dengan ayat-ayat manis dan dibawa keluar berjalan sebelum dirogol.

Selain itu, Ong turut menjelaskan tentang pedofilia yang dikelaskan dalam tiga kategori iaitu meminati kanak-kanak lelaki, meminati kanak-kanak perempuan dan menyukai kedua-dua jantina.

“Mangsa berusia lingkungan 10 hingga 16 tahun dan pesalah akan didakwa berdasarkan apa yang dilakukan mereka kepada mangsa seperti rogol, seks oral atau pun mendera...tiada undang-undang khusus untuk pesalah ini, tapi suspek akan didakwa mengikut Kanun Keseksaan.

“Antaranya, Seksyen 354 Kanun Keseksaan, Seksyen 377CA Kanun Keseksaan dan Seksyen 377E Kanun Keseksaan dan Seksyen 375 Kanun Keseksaan,” katanya.


0 comments:

share2