Rangkaian Media Sosial PahangKu

.

Friday, July 1, 2016

[BERA] PERKESO PROAKTIF SALUR MAKLUMAT


Perkeso proaktif salur maklumat


Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) kini lebih proaktif menyampaikan maklumat kepada orang ramai dan mempromosikan manfaat yang bakal diperoleh pencarum jika berlaku kemalangan.

Exco Kesihatan, Sumber Manusia dan Tugas-tugas Khas negeri, Datuk Norol Azali Sulaiman berkata, masih ada yang memikirkan insurans tidak boleh menghidupkan kembali pencarum (bagi mereka yang meninggal dunia) sedangkan tuntutan caruman adalah untuk meringankan bebanan yang ditanggung pewaris.

Menurutnya, bukan itu sahaja, jumlah mereka yang bekerja dan belum mencarum dengan Perkeso juga masih tinggi kerana kekurangan maklumat berkaitan faedah yang disediakan.

“Orang ramai masih tidak sedar faedah dan manfaat yang disediakan Perkeso. Sebagai contoh, jika ada ahli keluarga yang meninggal dunia, mereka tidak mahu menuntut apa-apa kerana beranggapan ia tidak akan mengembalikan mereka yang sudah tiada.

“Memang betul, tuntutan itu tidak boleh mengembalikan mereka yang dah tiada, tetapi ia dapat meringankan beban pewaris atau setidak-tidaknya dapat melangsaikan hutang pencarum,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas menyampaikan cek faedah kepada tiga penerima, di Felda Kumai, di sini, semalam.

Norol Azali berkata, Perkeso turut mengambil langkah proaktif apabila bertindak mencari waris pencarum jika berlaku kemalangan tanpa perlu menunggu waris membuat tuntutan.

“Bukan sahaja kes baharu, tetapi mana-mana kes lama tetapi asalkan kes itu kukuh, mereka masih boleh membuat tuntutan.

“Jadi, kena pastikan semua rekod kesihatan atau apa-apa dokumen berkaitan dijaga dengan baik sejurus mencarum dengan Perkeso,” katanya.

Sementara itu, Pengurus Perkeso Temerloh, Tarmizi Mukhtar memberitahu, pihaknya akan lebih kerap mengadakan pertemuan bersama masyarakat untuk meningkatkan kesedaran caruman Perkeso.

Menurutnya, ada pencarum yang tidak memaklumkan kepada waris yang mereka sedang mencarum dengan Perkeso menyebabkan waris tiada tempat bergantung untuk menyara dan meneruskan kehidupan.

“Ada juga waris yang tidak tahu cara membuat tuntutan. Jadi, maklumat seperti ini yang kami mahu kongsi dengan masyarakat supaya mereka sedar Perkeso mampu membantu mereka,” katanya.


0 comments:

share2