Rangkaian Media Sosial PahangKu

.

Thursday, June 30, 2016

TELEFON PINTAR RM17 - REALITI ATAU PENIPUAN?


Telefon Pintar RM17 - Realiti Atau Penipuan?


Awal tahun ini, kami ada memaparkan artikel berkenaan telefon pintar Android jenama Freedom 251 yang dijual pada harga hanya AS$4, iaitu sekitar RM17 sebuah.

Syarikat pengeluar peranti yang beroperasi di India, Ringging Bell mengatakan sebanyak 200 ribu unit peranti pintar mampu milik itu telah sedia dipasarkan di seluruh dunia.

Merujuk perkara ini, wartawan BBC, Shilpa Kanan cuba melakukan tinjauan di Delhi bagi mendapat seunit Freedom 251 dan menurutnya, adalah begitu sukar untuk memperolehnya biarpun peranti itu dihasilkan di negara tesebut.

Dari segi spesifikasi peranti, boleh dikatakan agak mengejutkan kerana dilengkapi dengan skrin 4 inci qHD, diperkasakan pemproses 1.3 GHz empat teras, RAM sebesar 1 Gigabyte dan muatan dalaman sebesar 8 Gigabyte.

Dari segi kemampuan optik pula ia mempunyai kamera utama 3.2 Megapixel dan kamera hadapan 0.3 Megapixel.

Peranti yang menyokong rangkaian 3G ini juga dilengkapi bateri sebesar 1400 mAh dan hadir dengan dua pilihan warna iaitu putih dan hitam.

Menurut Shilpa, sewaktu dia cuba melihat secara dekat peranti berkenaan, kemampuan peranti berkenaan dikatakan hanya terbatas menjalankan perkara asas seperti kegunaan kalkulator, pemain mp3, email dan beberapa aplikasi permesejan.

Dalam demonstrasi penggunaannya pula, syarikat pengeluar mengatakan model itu dalam proses penelitian terakhir dan akan dipasarkan secara global pada 30 Jun, namun ditunda kepada 7 Julai di mana membuatkan orang ramai tertanya-tanya sama ada benarkah peranti itu akan dipasarkan dengan harga yang ditawarkan.

Seorang ahli parlimen India, Kirit Somaiya mendedahkan kemungkinan besar peranti berkenaan hanyalah sekadar scam, manakala ketua bahagian kawasan selular India turut mendakwa penjualan peranti berkenaan adalah suatu ‘jenaka’.

Perkara ini lantas membuatkan Ketua Eksekutif syarikat Ringing Bells, Mohit Goel menyangkal dakwaan yang mengatakan peranti tersebut adalah suatu bentuk penipuan.




Beliau yang dibesarkan daripada keluarga usahawan terkenal di India mengatakan adalah cita-citanya untuk menghasilkan produk berkenaan bagi mambantu golongan kurang berkemampuan untuk memiliki peranti pintar yang selama ini dianggap sebagai barangan mewah.

Dengan lebih 1 bilion pengguna peranti pintar di India, Freedom 251 yang dianggarkan berharga RM17 ini pastinya mencetuskan isu buat jenama peranti mampu milik dari pengeluar yang lain disebabkan faktor harganya yang ‘maha’ murah.

Turut difahamkan laman sesawang yang menjalankan pra-tempahan Freedom 251 ini telah ditutup akibat tidak mampu menampung 70 juta pengguna di atas talian yang cuba mendaftar.




Shilpa yang membelek secara dekat Freedom 251 turut mengesahkan peranti berkenaan adalah replika jenama dari China, iaitu Adcom yang telah dijenamakan semula bagi mengkaburi pengguna.

Perkara ini lantas membuatkan pengguna yang telah membayar wang deposit di laman sesawang berasa tertipu dan cuba meminta semula wang pendahuluan yang telah disalurkan.

Ribuan pengguna tempatan turut dilaporkan melakukan protes di hadapan pejabat Ringing Bells sehingga mengakibatkan pihak berkuasa tempatan memantau keadaan.

Ringging Bells seakan tiada pilihan selain memulangkan semula jumlah deposit kepada 30 ribu pengguna akibat terdedahnya taktik peranti yang telah dijenamakan semula itu.

Jadi adakah Ringging Bells masih lagi ingin menghasilkan peranti serba murah tersebut biarpun sudah terpalit dengan dakwaan peranti palsu.


0 comments:

share2