Rangkaian Media Sosial PahangKu

.

Thursday, June 30, 2016

[BENTONG] POLIS NAFI TERDAPAT TUMPAHAN MINYAK DI LPT


Polis nafi terdapat tumpahan minyak di LPT


Polis menafikan kejadian simbah minyak yang berlaku di Lebuhraya Pantai Timur (LPT) atau Lebuhraya Kuala Lumpur-Karak baru-baru ini seperti yang diviralkan oleh pihak tertentu sehingga menimbulkan keresahan dalam kalangan pengguna jalan raya.

Ketua Polis Pahang, Datuk Seri Sharifuddin Abdul Ghani berkata, gambar yang diviralkan berkenaan adalah sama dengan gambar yang diviralkan pada tahun lalu dan tidak ada kaitan dengan kejadian simbah minyak.

Menurutnya, sejak tiga hari lalu, gambar kesan minyak dilebuhraya diviralkan oleh individu tidak bertanggungjawab yang mendakwa berlaku kejadian simbah minyak sehingga terdapat dalam kalangan pengguna jalan raya yang hampir terbabas.

“Pihak polis telah melakukan siasatan dan mendapati itu adalah gambar lama dan tidak ada kes terbaharu seperti itu,"katanya ketika dihubungi semalam.

Dalam pada itu, Ketua Jabatan Siasatan Trafik negeri, Superintenden Mohd. Noor Yusof Ali berkata, meskipun laporan berkenaan tidak benar pihaknya tetap melakukan tindakan dan pemantauan segera di kawasan lebuh raya terbabit.

Menurutnya, pihak polis juga telah menghubungi pihak berkaitan bagi memastikan perkara ini tidak berlaku sehingga menjejaskan keselamatan pengguna.

"Kita dapati gambar ini mesti viral setiap kali musim perayaan dan sudah banyak kali kita memberi penjelasan kepada pengguna jalan raya mengenai perkara ini.

"Bagaimanapun kita tetap mengambil tindakan dengan melakukan pemantauan berterusan dan sekiranya perkara ini betul-betul berlaku tindakan tegas akan diambil kepada pihak dan individu terbabit,"katanya.

Sementara itu, Pengarah Anih Berhad, Nik Fauzi Nik Hussin berkata, gambar yang diviralkan berkenaan merupakan kesan tumpahan minyak yang berlaku akibat daripada satu kemalangan di Kilometer 70 Lebuh Raya Kuala Lumpur-Karak berhampiran Sungai Dua, Bentong November tahun lalu.

Beliau berkata, sejurus selepas kejadian kemalangan pada November tahun lalu itu pihaknya telah melakukan tindakan segera membersihkan tumpahan minyak berkenaan termasuk menggunakan habuk kayu.

"Kita kesal dengan berita yang diviralkan berkenaan dan pada tahun lalu kita juga telah membuat laporan kepada Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) untuk tindakan lanjut," katanya.


0 comments:

share2