Kuala Lumpur - Seramai 71 gadis pelayan pelanggan (GRO) warga asing ditahan di sebuah premis hiburan di Jalan Klang Lama di sini, dalam operasi Ops Noda Khas, kelmarin.
Ketua Penolong Pengarah Pasukan Tindakan Khas Anti Maksiat, Judi dan Gengsterisme (Stagg) Bukit Aman, Senior Asisten Komisioner Khairi Ahrasa berkata, serbuan dilakukan seorang pegawai bersama lapan anggota D7 Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kuala Lumpur.
"Semasa melakukan intipan, muzik dipasang kuat dan kelihatan GRO warganegara asing sedang melayan pelanggan dari meja ke meja sambil minum minuman keras.
"Ketika serbuan, polis ada meminta penjaga premis mengemukakan lesen, tetapi gagal berbuat demikian," katanya.
Beliau berkata, polis kemudian menahan seorang penjaga warga tempatan, 69 GRO Thailand, masing-masing seorang dari Laos dan Kemboja, sebelum dibawa ke Balai Polis Traver untuk siasatan lanjut.
Dalam operasi berkenaan, polis turut merampas lapan helai resit perniagaan dan 10 helaian kertas tercatat nombor pekerja dan masa.
Menurutnya, kes disiasat di bawah Seksyen 55B Akta Imigresen, Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen, Seksyen 11 (7) Akta Imigresen dan Seksyen 3 UUK.
0 comments:
Post a Comment