Rangkaian Media Sosial PahangKu

.

Monday, July 18, 2016

[TEMERLOH] DERITA BENCANA RIBUT DIKONGSI




Media Prima Berhad (MPB) menerusi Tabung Bencana NSTP-Media Prima menyalurkan bantuan kewangan berjumlah RM50,000 kepada 250 mangsa ribut di daerah ini dan FELDA Jengka 6, Maran, kelmarin.

Bantuan kewangan disalurkan menerusi tabung itu adalah hasil sumbangan orang ramai khususnya untuk mangsa bencana berkenaan.

Penyerahan sumbangan disampaikan melalui Koresponden Wilayah TV3 Pantai Timur, Ahmad Fazli Ahmad selaku wakil MPB di kedua-dua daerah terbabit.

Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan dan Kebudayaan Pahang Datuk Seri Mohd Sharkar Shamsudin berkata, pihaknya berbesar hati menerima kunjungan pasukan tanggungjawab sosial korporat (CSR) daripada MPB untuk memberikan sumbangan kepada mangsa bencana itu.

“Kunjungan MPB menerusi aktiviti CSR ini membuktikan masih ramai lagi masyarakat dan badan korporat yang prihatin terhadap kesusahan terpaksa dihadapi mangsa apatah lagi ia berlaku ketika semua insan masih menikmati cuti Aidilfitri.

“Oleh itu, diharapkan bantuan diberikan ini sedikit sebanyak meringankan beban kerosakan rumah yang terpaksa ditanggung mereka akibat bencana ini,” katanya ketika berucap di Balai Orang Ramai Seri Bintang (BALORA), Taman Bahagia, di sini.

Hadir sama, Timbalan Menteri Sumber Manusia yang juga Ahli Parlimen Maran Datuk Seri Ismail Abd Muttalib.

Sementara itu, pesara, Mohd Aspa Jaafar, 51, berkata, dia bersyukur dan berterima kasih kepada MPB serta orang ramai yang sudi menghulurkan bantuan kewangan kepada mangsa bencana berkenaan.

“Dengan sumbangan ini, sekurang-kurangnya saya dapat membaiki bumbung rumah yang rosak teruk akibat bencana itu.

“Jika hendak diharapkan duit pencen untuk membaiki kerosakan memang tidak mencukupi memandangkan saya masih perlu menanggung kos perubatan,” katanya.

Pengagihan bantuan di dua daerah terbabit turut mendapat kerjasama Jabatan Pertahanan Awam Malaysia (JPAM) dan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) negeri yang membantu mengumpul maklumat berhubung
mangsa bencana itu.

Pada 11 Julai lalu, ribut melanda dua daerah itu membabitkan 11 kampung mengakibatkan lebih 200 keluarga mengalami kerosakan harta benda.




0 comments:

share2