KUALA LUMPUR 16 Julai – Senarai barisan kepemimpinan tertinggi ‘Parti Melayu Baru Bersatu’ menjadi viral melalui media sosial termasuk Facebook dan Twitter hari ini.
Berdasarkan senarai tersebut, bekas Timbalan Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin dilantik sebagai Presiden manakala bekas Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Mohd. Shafie Apdal menjadi Timbalannya.
Naib Presiden terdiri daripada bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Zaid Ibrahim; bekas Naib Presiden Pas, Datuk Husam Musa dan bekas Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Mukhriz Mahathir.
Bekas Ketua Pergerakan Wanita UMNO, Tan Sri Rafidah Aziz dinamakan sebagai Bendahari dan bekas Naib Ketua UMNO Bahagian Batu Kawan, Datuk Seri Khairuddin Abu Hassan memegang jawatan Setiausaha Agung.
Antara yang disenaraikan sebagai ahli Majlis Tertinggi adalah bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Abdul Wahid Omar; bekas Naib Ketua Pergerakan Wanita UMNO, Datuk Kamilia Ibrahim; bekas Ketua Menteri Melaka, Tan Sri Abdul Rahim Thamby Chik dan Presiden Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (Perkasa), Datuk Ibrahim Ali.
Sementara itu, Abdul Wahid berkata, adalah tidak masuk akal memasukkan namanya dalam senarai barisan kepimpinan parti berkenaan.
“Saya nafikan sekeras-kerasnya bahawa saya berniat menjadi ahli parti baharu ini.
“Semoga Allah SWT memberi petunjuk kepada pereka senarai pemfitnah tersebut,” kata beliau melalui aplikasi WhatsApp kepada Mingguan Malaysia hari ini.
Rafidah pula ketika dihubungi menyifatkan senarai yang turut membabitkan namanya sebagai sesuatu yang karut.
Dalam pada itu, Ibrahim berkata, kesahihan senarai itu boleh dipersoalkan dan mungkin dilakukan oleh pihak tertentu yang kurang bijak serta berhati jahat.
Menurut beliau, agak sukar diterima akal apabila tokoh-tokoh seperti bekas Peguam Negara, Tan Sri Abdul Gani Patail dan bekas Gabenor Bank Negara, Tan Sri Dr. Zeti Akhtar Aziz turut disenaraikan dalam barisan Majlis Tertinggi.
0 comments:
Post a Comment