Rangkaian Media Sosial PahangKu

.

Monday, February 22, 2016

[BERA] LANTIK ORANG MUDA



Lantik orang muda



Pelantikan Tok Batin dan Ahli Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) dalam kalangan orang muda membantu meningkatkan pembangunan Orang Asli setempat.

Tok Batin Kampung Ibam, Raman Mat berkata, jawatan yang dipegang merancakkan pembangunan golongan itu dalam pelbagai sudut.

“Bukan orang lama tidak bagus. Orang lama (yang kekal sebagai Tok Batin) mempunyai pengalaman jadi dengan kerjasama dengan orang muda ini, kita mampu membangunkan lagi masyarakat Orang Asli.

"Pelbagai cetusan idea bernas boleh diperoleh daripada pemimpin muda supaya dapat bersaing dengan bangsa lain di daerah ini.

"Mereka yang dilantik sebagai pemimpin baharu akan berusaha menjalankan tanggungjawab dalam kepimpinan, termasuk membangunkan sosioekonomi kaum minoriti itu,” katanya kepada pemberita ketika ditemui di sini, kelmarin.

Seramai 12 individu dilantik sebagai Tok Batin dan JKKK baharu di kawasan masing-masing di seluruh daerah ini.

Sijil pelantikan itu diserahkan Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob pada Majlis Ramah Mesra Bersama Orang Asli seluruh daerah Bera, di sini, kelmarin.

Pada majlis itu, masyarakat Orang Asli turut menerima rumah baharu menerusi Program Bantuan Rumah (PBR).

Sementara itu, ahli JKKK, Winang Piji berjanji akan memegang amanah yang diberikan sebaik mungkin.

Menurutnya, setiap jawatan memainkan peranan masing-masing dan sebagai pemimpin setempat, beliau akan menjaga kepentingan masyarakat Orang Asli di kampungnya.

“Kita mahu masyarakat Orang Asli menerima pembangunan seiring dengan bangsa lain. Saya berharap, pandangan dan idea saya boleh diterima dalam JKKK kelak.

“Saya juga mengharapkan kerjasama dengan semua penduduk untuk membantu saya selain menyalurkan sebarang masalah untuk diselesaikan bersama dengan cara yang terbaik,” katanya.


0 comments:

share2