Rangkaian Media Sosial PahangKu

.

Monday, December 7, 2015

JANGAN HAMPAKAN UMK, IBU BAPA


Jangan hampakan UMK, ibu bapa


Kota Bharu - Pro Canselor Universiti Malaysia Kelantan (UMK), Dr Tengku Muhammad Faiz Petra menasihatkan semua graduan supaya tidak menghampakan institusi pengajian dan juga ibu bapa.

Ketika bertitah pada Istiadat Konvokesyen UMK kali ke-5, semalam, baginda meletakkan graduan umpama permata dan duta kepada universiti di peringkat nasional serta antarabangsa.

“Gunalah segala ilmu dan pengalaman ditimba sepanjang pengajian di universiti untuk memberi khidmat bakti kepada keluarga, masyarakat, bangsa dan agama,” titah baginda.

Terdahulu, baginda berkenan menyampaikan Ijazah Sarjana Muda kepada 441 penuntut Fakulti Keusahawanan dan Perniagaan yang diadakan di sebuah hotel, di sini.

Baginda yang juga Tengku Mahkota Kelantan menzahirkan penghargaan kepada ibu bapa yang telah memberikan kepercayaan kepada UMK untuk mendidik dan membangunkan anak mereka sehingga berjaya memperoleh kejayaan.

“Iringilah mereka dengan doa dan restu untuk menghadapi cabaran pada masa depan. Beta bersyukur dan berdoa ke hadrat ALLAH SWT agar mengurniakan kepada kita semua hidayah untuk terus berusaha mencapai misi dan visi universiti tercinta ini,” titah baginda.

Dalam masa sama, baginda juga turut memuji pensyarah yang sentiasa memberi bimbingan dan tunjuk ajar, serta seluruh warga kerja universiti bersatu hati bagi melahirkan graduan UMK yang relevan, unik dan berbeza.

Titah baginda lagi, UMK sesungguhnya memikul amanah yang sangat besar untuk menjayakan agenda ‘Pendidikan Keusahawanan’.

“Beta yakin, UMK mampu melahirkan graduan mempunyai nilai kepimpinan, berdikari, sedia mengambil risiko, berkomunikasi secara berkesan, mempunyai jati diri yang ampuh dan nilai spiritual mantap.

“Graduan yang dilahirkan mampu memenuhi keperluan pekerjaan dan mereka juga mempunyai keupayaan dan keinginan tinggi untuk menceburi bidang baharu sebagai usahawan, bagi membuka peluang pekerjaan kepada masyarakat atau sebagai job creator,” titah baginda lagi.

Selain itu, baginda juga turut mengingatkan bahawa peranan universiti bukan sahaja merangkumi aspek pembangunan akademik semata-mata, namun mempunyai tanggungjawab sosial kepada masyarakat.

“Keusahawanan sosial agenda penting dan penyelesaian alternatif terhadap permasalahan sosioekonomi dan kemanusiaan melalui prinsip perniagaan, nilai sosial, mengenal pasti peluang dan inovasi, sebagaimana yang disebut oleh Bapa Keusahawanan Sosial iaitu Gregory Dees.

“Ini turut menjadi asas kepada universiti membina keupayaan dan strategi tertentu bagi memastikan limpahan manfaat kepada masyarakat,” titah baginda.

Seterusnya, baginda juga turut menzahirkan kepercayaan UMK telah membuktikan kewujudannya dengan memberi impak positif terhadap komuniti, khususnya di Kelantan melalui program yang dijalankan.

Menyentuh mengenai pembabitan UMK secara langsung dalam pembangunan Ekonomi Wilayah Pantai Timur atau East Coast Economic Region (ECER) juga, baginda bertitah, ia menjadikan universiti berkenaan sentiasa relevan dengan pembangunan sosioekonomi masyarakat, khususnya di Pantai Timur.

Malah, baginda juga berharap inisiatif dan komitmen UMK menjadi pusat operasi bagi program pemulihan dan penyaluran bantuan terhadap mangsa banjir yang melanda Kelantan baru-baru ini dapat diteruskan.

Baginda turut menzahirkan keprihatinan apabila mahukan budaya ilmu melalui pembangunan nilai dan akademik harus seiring kemudahan prasarana yang kondusif.

“Dalam hal ini, beta berpandangan pihak universiti telah berusaha bersungguh-sungguh meningkatkan kualiti kemudahan prasarana yang memenuhi keperluan UMK.

“Selain kemudahan dan pembangunan infrastruktur di tiga kampus, aspek pembelajaran dan pengajaran secara maya atau e-learning turut diberi penekanan bagi memastikan UMK terus relevan dengan arus pendidikan terkini,” titah baginda.


0 comments:

share2