Kuala Nerang - Seorang warga emas putus telinga kiri selepas digigit seekor beruk di Kampung Tandop Besar, Mukim Tekai Kanan di sini, Jumaat lalu.
Dalam kejadian kira-kira jam 5.30 petang itu, Darus Endut, 75, menemui beruk itu di belakang rumahnya.
Darus berkata, pada mulanya beruk itu tidak agresif dan keadaannya baik sahaja, namun selepas ditegur jirannya haiwan berkenaan terus menerkamnya.
"Semasa mendekatinya, beruk itu kelihatan sangat jinak, namun semuanya berubah selepas jiran saya datang dan memberitahu bahawa salah seorang jirannya pernah digigit beruk berkenaan hingga mendapat rawatan di hospital.
"Selepas itu, beruk berkenaan terus menerkam dan menggigit telinga saya," katanya yang kehilangan cuping telinga selepas bergelut selama lima minit bagi melepaskan diri.
Menurutnya, dia berjaya melepaskan diri selepas menarik tali di leher beruk berkenaan sebelum dibantu jiran dan anaknya.
"Anak saya terus membawa saya ke Hospital Kuala Nerang untuk mendapatkan rawatan.
"Difahamkan telinga saya tidak dapat disambung semula walau bagaimanapun ia tidak akan menjejaskan pendengaran saya," katanya.
Dalam kejadian itu, Darus turut menerima enam jahitan di tangan dan dirawat sebagai pesakit luar.
Derus berkata, memang pada mulanya dia berniat untuk memelihara beruk itu kerana sebelum ini dia pernah memelihara haiwan berkenaan untuk memetik buah kelapa.
"Kejadian ini membuatkan saya benar-benar serik untuk bermain dengan beruk lagi," katanya yang mempunyai pengalaman 10 tahun memelihara haiwan berkenaan.
0 comments:
Post a Comment